Hak saksama dalam Islam tidak sama tafsiran feminis

SHAH ALAM – Perbezaan hukum Islam terhadap lelaki dan perempuan merupakan perbuatan yang adil dan mencerminkan keimanan, sekali gus tidak menyamai tafsiran feminis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, hukum Islam tidak menyebut soal hak semata-mata tetapi mengambil kira perbezaan tanggungjawab dalam meraikan perbezaan kedua-dua gender itu.

“Saksama bagi kita masyarakat Melayu Islam tidak sama dengan tafsiran feminis yang mahukan kesamarataan mutlak tanpa sebarang pengecualian.

“Jika mahu difahami begitu, apa-apa kelebihan tertentu yang diberikan kepada pihak lelaki secara automatik akan menjadi suatu bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap wanita tidak kira apa asas serta justifikasinya, seperti mana yang dilihat melalui perbuatan memakaikan butang baju Melayu suami.

“Tetapi Islam tidak begitu. Kesaksamaan adalah keadilan yang bukan semata-mata apa lelaki peroleh mesti diberikan kepada wanita seperti yang sering difahami umum, tetapi keadilan itu ialah meletakkan setiap sesuatu selayaknya dan kena pada tempatnya,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Baru-baru ini tular di laman Twitter yang menyelar gambar isteri memakaikan butang baju Melayu suaminya sebagai tidak menepati tema sambutan Hari Wanita iaitu ‘Saksama Bersama’.

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, hukum Islam memberikan hak yang sama kepada lelaki dan wanita pada kadar berbeza bergantung kepada keperluan.

Sebagai contoh katanya, kedua-dua gender diberikan hak untuk bekerja dan menyara keluarga, namun lelaki wajib menyediakan keperluan asas manakala wanita mempunyai pilihan untuk membantu menanggung ekonomi keluarga ataupun sebaliknya.


“Hak wanita untuk ditaati oleh anak-anak adalah melebihi lelaki sebagai bapa dan ini datang bersama tanggungjawab mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Hak ketaatan yang diberikan kepada suami pula melepaskan wanita daripada tanggungjawab memberikan nafkah.

“Namun begitu, ada juga hak-hak yang khusus diberikan kepada lelaki misalnya hak poligami (bukan wajib) atau hak yang hanya diberikan kepada wanita seperti nafkah.

“Sempena tema ‘Saksama Bersama’ pada tahun ini, kita sangat setuju potensi wanita perlu dioptimumkan sebaiknya dengan menyediakan segenap ruang dan peluang yang adil untuk mereka memajukan diri mengikut pilihan sendiri, baik sebagai pemimpin, wanita bekerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa mengikut batas-batas sempadan yang dibenarkan syarak,” ujarnya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts