Halal Jakim terima akreditasi ISO/IEC 17065

 

SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diiktiraf sebagai badan pensijilan halal pertama di negara ini apabila memperoleh kelulusan akreditasi ISO/IEC 17065.

Jakim melalui Bahagian Pengurusan Halal (BPH) berjaya memperoleh pengiktirafan akreditasi berdasarkan standard antarabangsa iaitu ISO/IEC 17065 pada 10 Oktober 2020 selepas menjalani beberapa peringkat penilaian yang ketat oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Standard Malaysia selaku Badan Standard dan Badan Akreditasi Kebangsaan mengiktiraf akreditasi kepada Jakim berdasarkan keupayaan sistem pensijilan yang dilaksanakan serta mempunyai kualiti dan kompetensi perkhidmatan yang baik dalam menjalankan fungsinya sebagai badan pensijilan.

Justeru, beliau mengakui gembira dan berbangga dengan pencapaian ini.

“Saya amat bersyukur dan berbangga dengan kesungguhan dan usaha serta komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan indikator untuk menyediakan perkhidmatan serta produk yang halal itu sebagai satu ibadah diberi keutamaan sehingga dapat direalisasikan melalui pengiktirafan yang diterima ini.

“Pengiktirafan ini membuktikan pensijilan halal Malaysia setanding dengan pensijilan antarabangsa yang lain dan dapat diterima di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Katanya, akreditasi amat penting untuk membantu industri di Malaysia khususnya dalam aspek pemasaran produk domestik yang mempunyai pensijilan halal Malaysia untuk pergi jauh merentas sempadan dan benua.

Zulkifli berkata, Jakim memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan impian memperoleh akreditasi ini menjadi realiti seperti yang dicapai hari ini.

“Ia menjadi titik tolak ke arah memperkukuhkan lagi jenama Malaysia selaku peneraju badan pensijilan halal global dan menunjukkan usaha kerajaan melindungi dan memelihara kebajikan pengguna Islam membabitkan produk yang benar-benar dijamin halal dan berkualiti tinggi,” kata beliau.

Untuk rekod, skop akreditasi ISO/IEC 17065 yang diperoleh Jakim adalah bagi pensijilan produk makanan dan minuman, premis makanan seperti hotel dan restoran serta pensijilan bagi rumah sembelihan haiwan.

Pada masa akan datang, skop akreditasi ini akan turut diperluaskan kepada skim-skim pensijilan halal yang lain. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts