Hamas kecam tindakan Mahmoud Abbas tunduk kepada AS

 

GAZA – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengecam kenyataan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang disifatkan sebagai menyokong rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang cuba melemahkan jati diri rakyat Palestin.

Hamas dengan tegas mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Mahmoud Abbas yang berusaha memaksa penduduk Palestin tunduk, serta cuba melemahkan semangat mereka dalam berdepan waktu berbahaya dan bersejarah ini.

Pergerakan itu terkejut dengan ucapan negatif Mahmoud Abbas yang dianggap boleh membakar jambatan perjanjian damai diusahakan Mesir dan melebarkan keretakan di kalangan penduduk.

Pentadbiran di Palestin sebelum ini terbahagi kepada dua iaitu kawasan Tebing Barat dikuasai oleh Fatah dan Semenanjung Gaza di bawah kawalan Hamas. Keseluruhan wilayah itu diletakkan di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah dengan Mahmoud Abbas sebagai Presiden.

Selepas usaha damai digerakkan Mesir, Hamas kemudian bersetuju menyerahkan sepenuhnya kuasa pentadbiran Semenanjung Gaza kepada PA dan Fatah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hamas berkata, pergerakan itu sedang melakukan usaha terbaik untuk mengekang semua konspirasi dirancang yang bertujuan melemahkan perjuangan mendapatkan hak Palestin.

“Mahmoud Abbas bukan sekadar menyasarkan Hamas, tetapi merosakkan peluang untuk mempromosikan program nasional dan usaha mencapai perpaduan di kalangan penduduk Palestin.

“Dia juga memperkuatkan rancangannya untuk memisahkan Tebing Barat daripada Semenanjung Gaza dengan melakukan huru-hara terlebih dahulu supaya ia menjadi penyebab kepada penerimaan ‘perjanjian abad ini’ serta rancangan Trump dan rejim pengganas Israel yang lain,” kata kenyataan itu.

Hamas berkata, ucapan dan keputusan Mahmoud Abbas, yang dianggap sebagai merampas semua tawaran perdamaian digerakkan rejim Mesir, memerlukan pendirian segera dan campur tangan semua rakyat untuk melindungi Palestin.

Hamas juga menggesa rakyat dan parti politik bangkit dan menyatakan pendirian berhubung kenyataan itu yang berbahaya dan boleh merosakkan Palestin.

“Hamas menggesa semua pihak sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa, termasuk Liga Arab untuk segera campur tangan menghentikan tindakan berbahaya dan bertanggungjawab melindungi rakyat Palestin daripada bencana, yang boleh berlaku berikutan keputusan Mahmoud Abbas menentang Gaza dan penduduknya,” kata Hamas.

Kenyataan itu juga berkata, tuduhan Mahmoud Abbas bahawa serangan terhadap konvoi Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah dilakukan Hamas, semata-mata untuk menghalang keadilan ditegakkan, sedangkan siasatan penuh serangan itu belum selesai – siasatan tanpa kerjasama PA.

“Selepas semua yang berlaku ini, Hamas menggesa diadakan pilihan raya umum, termasuk pada peringkat Presiden, Parlimen dan Majlis Kebangsaan bagi memberi peluang kepada rakyat Palestin memilih pemimpin yang mampu membawa perpaduan dan bertanggungjawab melindungi kepentingan Palestin,” kata Hamas. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts