Hanya guru agama lengkap divaksin dibenar mengajar di masjid, surau

MELAKA – Hanya guru agama, guru takmir bertauliah dan pengkuliah yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan meneruskan pengajian di masjid dan surau di negeri ini secara bersemuka.

Ketetapan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa COVID-19 Melaka pada minggu lalu.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu sekali gus melarang mereka yang masih belum lengkap menerima vaksin untuk meneruskan tugasan.

“Kita sedang mengenal pasti mereka yang enggan divaksin sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk kemungkinan menamatkan tauliah yang diberikan.

“Pihak lembaga masjid dan surau akan menyemak rekod vaksinasi tenaga pengajar melalui aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka mengambil vaksin, kecuali mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia (KKM),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, hari ini.

Abdul Halim berkata, bukan hanya guru sahaja, tetapi ketetapan itu turut terpakai kepada jawatankuasa masjid dan surau seperti imam, bilal dan noja, serta guru sekolah agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Perkara itu mengambil kira kepentingan awam. Kita juga mensyaratkan agar semua pengerusi lembaga masjid serta surau untuk mendapatkan maklumat guru-guru yang mengajar,” katanya.

Ketika ini terdapat kira-kira 600 daripada 1,300 guru agama bertauliah yang aktif di negeri ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts