Berdoa dikurniakan kefahaman Al-Quran

  1. Perhatikan Surah al-Rahman. Dalam Surah ini, Allah mempersembah dan menghitung nikmat-nikmat utama yang telah dikurniakan kepada manusia. Dan nikmat pertama yang disebutkan adalah nikmat dikurniakan kefahaman al-Quran. Firman Allah:

الرَّحْمَنُ (1) عَلَّمَ الْقُرْآنَ (2) خَلَقَ الْإِنْسَانَ (3) عَلَّمَهُ الْبَيَانَ

(Tuhan) Yang Maha Pemurah. Dia yang mengajarkan Al-Quran. Dia yang menciptakan manusia. Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (Surah al-Rahman: 1-4)

  1. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Abu Hayyan al-Andalusi menjelaskan bahawa nikmat dikurniakan kefahaman al-Quran adalah nikmat yang tertinggi sekali. Kata beliau:

ولَـمَّا عدَّد نعمه تعالى، بدأ مِن نِعَمه بما هو أعلى رُتبها، وهو تعليم القرآن

“Ketika mana Allah menghitung (satu-persatu) nikmat yang dikurniakan olehNya, Allah memulakan dengan nikmat yang paling tinggi sekali iaitu nikmat Dia mengajarkan kepada manusia al-Quran. (al-Bahr al-Muhit)

  1. Ini kerana al-Quran adalah asas panduan dan bimbingan manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Sesudah itu, barulah disebut tentang nikmat dijadikan manusia dan seluruh alam semesta ini.
  2. Atas dasar itu, maka tidak hairanlah kita melihat Rasulullah mendoakan Abdullah ibn Abbas agar dikurniakan kefahaman al-Quran. Perkara ini diceritakan oleh beliau sendiri yang menyebutkan:

ضَمَّنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ، وقال: اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْكِتَابَ

“Rasulullah rapat kepadaku dan berdoa: Ya Allah kurniakanlah dia kefahaman al-Quran.” (HR al-Bukhari)

  1. Oleh yang demikian berdoalah kepada Allah agar dikurniakan kefahaman al-Quran. Ia adalah nikmat pertama yang disebutkan dalam Surah al-Rahman. Doakan kepada anak-anak kita agar dikurniakan kefahaman al-Quran seperti mana yang dibacakan oleh Rasulullah ke atas anak kecil itu iaitu Abdullah bin Abbas.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts