Hanya wakil JAKIM bantah konsert artis Barat

PUTRAJAYA: Hanya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membantah penganjuran konsert artis Barat dalam sesi mesyuarat bersama pelbagai agensi baru-baru ini.

Mendedahkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pihaknya kesal kerana penganjuran konsert seperti itu diluluskan agensi kerajaan berkaitan.

Katanya, beliau difahamkan hanya wakil JAKIM yang menentang keras manakala 15 agensi lain menyokong penganjuran konsert berkenaan.

“Saya menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan JAKIM berdiam diri mengenai penganjuran konsert itu malah menjadi satu-satunya pihak yang paling lantang menolak kelulusan penganjurannya dalam Mesyuarat Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL),” katanya ketika hadir menyertai Hijrah Merdeka anjuran JAKIM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bersempena Ambang Merdeka 2022 semalam.

Yang turut hadir, timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Pada program itu Idris turut menyampaikan tausiyah atau nasihat keagamaan sebagai perasmian kemuncak program yang dihadiri kira-kira 3,000 jemaah.

Isu penganjuran konsert luar ini mula menjadi kontroversi susulan persembahan penyanyi dari Amerika Syarikat, Billie Eilish pada 18 Ogos lalu di Stadium Bukit Jalil yang mendapat bantahan umat Islam di negara ini.

Antara pihak yang membantah termasuk Gerakan Belia 4B Kebangsaan menyelar PUSPAL kerana meluluskan konsert itu meskipun penyanyi itu dikenali sebagai penyokong rejim Israel dan gerakan songsang LGBT.

Idris berkata, pihaknya sudah mencuba yang terbaik sejak dari awal lagi demi kepentingan umat Islam kerana ia tidak memenuhi piawaian garis panduan ditetapkan JAKIM.

Menurutnya, beliau menolak dakwaan segelintir pihak terutama bukan Islam yang menyatakan kononnya agensi tersebut sebagai anti kepada seni hiburan dan nyanyian artis luar.

“Tiada halangan sekiranya persembahan itu menepati garis panduan seperti penyanyi Maher Zain atau Opick yang pernah mengadakan siri jelajah konsert di seluruh negara.

“Bakat suara adalah anugerah Allah SWT dan ajaran Islam tidak melarang persembahan asalkan tidak melanggar batas ditetapkan syarak,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts