Hari Valentine semakin ditolak remaja Islam

 

KESEDARAN mengenai bertentangannya Hari Valentine dengan Islam membuatkan kedatangan 14 Februari hari ini kelihatan dingin dalam kalangan remaja Islam. Ini adalah hasil daripada kempen yang dilakukan secara proaktif dan konsisten oleh beberapa institusi Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya orang Islam menjauhkan diri daripada terlibat dengan peristiwa dalam agama Kristian ini.

Tahun ini memperlihatkan perubahan yang ketara. Ini kelangsungan dari tiga atau empat tahun lalu di mana penglibatan remaja Islam beransur-ansur kurang. Paling jelas pada tahun ini apabila sukar untuk terjumpa remaja Islam membeli produk Hari Valentine di pusat-pusat membeli belah ternama di Kuala Lumpur.

Kempen anti Hari Valentine
Hal ini berbeza sekali dengan tiga atau empat tahun sebelum ini di mana banyak remaja Islam berebut-rebut membeli produk Hari Valentine, setidak-tidaknya belon dengan logo hati dan tulisan Valentine’s Day. Tetapi dalam tinjauan rambang sejak seminggu lalu, masih ada pusat membeli belah yang memperagakan produk yang berkaitan Hari Valentine. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada yang besar dan mahal semuanya untuk perayaan yang senama dengan warna merah jambu ini.

Tetapi sukar untuk temui remaja Islam yang boleh dikenali melalui pemakaian tudung turut serta merayakan Hari Valentine. Memang ada remaja Islam yang masih menyambut Hari Valentine malah menganggap hari ini sebagai hari seks bebas atas nama cinta dan kasih sayang. Ini tidak dapat dinafikan, tetapi keadaannya tidak seperti sebelum ini.

Berbeza dengan keadaan sebelum ini di mana remaja kita turut menyibuk dengan hari yang diperkenalkan oleh Pope Gelasius I pada tahun 500 Sebelum Masihi. Mereka ini tidak tahu apa-apa tentang Hari Valentine serta tidak mempunyai sikap yang kritikal terhadap sebarang pembudayaan dari luar. Mereka naif bahawa Hari Valentine mempunyai hubungan yang jelas dengan Kristian.

Kempen anti Hari Valentine
Maka dalam kelompok manusia yang bingung itu muncullah yang cerdik lalu mencipta terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai Hari Kekasih, ada juga menyebut Hari Kasih Sayang. Semua ini untuk memberi nilai setempat kepada satu nilai asing dari Barat. Hakikatnya Hari Valentine adalah Hari Valentine. Tidak ada kena mengena dengan kasih sayang.

Tahun-tahun sebelum ini juga ada stesen televisyen termasuk yang diterajui oleh Melayu – Islam menyediakan rancangan khas Hari Valentine. Mereka juga mengambil peluang menaikkan rating penonton yang akhirnya boleh menambah kemasukan iklan sebagai punca pendapatan. Tidak dapat dipastikan adakah stesen televisyen berkenaan sudah berubah atau terus mempromosi Hari Valentine kerana saya amat jarang menonton televisyen.

Ini menyumbang kepada jumlah remaja yang tanpa segan silu turut mengambil bahagian dalam pesta Hari Valentine. Orang Melayu yang menyambut Hari Valentine adalah kalangan yang perasan menjadi manusia moden tetapi berada dalam kotak fikir yang mundur dan jumud.

Tahniah kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melancarkan Kempen Awas Jerat Hari Valentine sebelum ini . Sementara Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pernah menyarankan kepada semua Jabatan Agama Islam negeri mewartakan pengharaman Hari Valentine. Beberapa negara luar seperti Indonesia, India dan Iran misalnya mengharamkan Hari Valentine. Kesannya sudah terbukti.

Tulisan ini cuba melihat Hari Valentine juga menjadi musuh kepada semua orang, tidak kira bangsa, agama atau budaya apabila sambutan ini menjadi agenda budaya konsumerisme Barat yang melampau. Bukan sahaja memusuhi Islam malah musuh bukan Islam juga.

Buku Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday tulisan Leigh Eric Schmidt antara lain memperkatakan tentang hari-hari penting seperti Hari Krismas, Hari Ibu, Hari Valentine dan banyak lagi yang dieksploitasi dalam budaya konsumerisme.

Penulis yang juga sarjana yang banyak mengkaji tentang agama ini melihat bagaimana Barat memperdagangkan hari-hari istimewa ini terutama berkaitan agama untuk mengaut keuntungan. Pengagum yang naik dan lurus bendul terperangkap dalam jerat budaya konsumerisme.

Menurut buku ini, budaya konsumerisme membentuk selain memperkukuhkan hari-hari tersebut dalam agenda kehidupan sejak abad ke 20. Para kapitalis memperhebatkan kerja-kerja pemasaran supaya hari-hari istimewa itu kononnya menjadi penanda aras dalam kehidupan moden.

Sanggupkah kita dikatakan kurang cerdik kerana membiarkan diri menjadi mangsa pengiklan, pembuat produk, pemilik hotel, pusat hiburan malah penjual riben merah jambu? Apa pun jawapannya, elok kita lihat bagaimana Hari Valentine ini digempur sebagai budaya popular setaraf dengan kegilaan kepada muzik untuk tujuan perniagaan.

Golongan kapitalis memasang bubu untuk memerangkap ikan-ikan yang terdiri daripada remaja dan golongan dewasa yang naif dan perasan moden. Dalam ledakan budaya kesumerisme, kebijaksanaan mengambil peluang, memperagakan strategi pemasaran yang kreatif serta mampu membentuk sudut pandangan umum adalah syarat untuk berjaya.

Kerana itu kalau diperhatikan di Kuala Lumpur khususnya, banyak pusat membeli belah, hotel dan pusat hiburan telah merangka strategi pemasaran mereka. Mereka tidak peduli dengan punah-ranah moral golongan remaja (Islam dan bukan Islam) malah turut menyumbang kepada gejala sosial. Matlamat mereka adalah mengaut keuntungan.

Budaya konsumerisme merangsang orang membeli, ikut serta dalam nilai-nilai popular yang matlamatnya menyumbangkan keuntungan kepada golongan peniaga. Persiapan yang seolah-olah tahun ini Hari Valentine terakhir bertujuan meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja. Mana ada nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dalam kempen pemasaran Hari Valentine. Ini membuktikan ia tidak ada kena mengena dengan kasih sayang.

Gambar: Isma Australia
Masyarakat kita (termasuk bukan Islam) yang baru dijengah budaya konsumerisme dengan mudah menjadi mangsa kapitalis yang menjaja Hari Valentine, Hari Ibu dan segala macam hari lagi kecuali Hari Merdeka, Hari Maal Hijrah dan Hari Pahlawan.

Mereka dibentuk supaya berfikir bahawa tanpa menyambut Hari Valentine tidak ada kasih sayang. Pembudayaan yang datang bersama produk Hari Valentine telah berjaya dalam agendanya. Padahal Hari Valentine tidak lebih perangkap untuk memaksa masyarakat yang kurang cerdik berbelanja kepada suatu yang tidak perlu dan menerima nilai-nilai moral yang muflis dari Barat.

Biarlah kalau masih ada golongan Melayu – Islam yang terus bersekongkol dengan Hari Valentine. Golongan Islam yang mencabar agama terus wujud dalam semua zaman. Mereka ini merasakan diri dan pemikiran sudah cukup moden dan Islam dianggap ketinggalan zaman.

KU SEMAN KU HUSSAIN
Bekas Pengarang Mingguan Malaysia

Sumber: kuseman.com

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts