Hormati dan muliakan guru,sunnah yang digariskan oleh Rasulullah SAW

JIKA bukan kerana jasa guru, kita bukan sesiapa. Entah bagaimanalah masa depan kita andai tiada sesiapa yang membimbing kita untuk memperoleh pengetahuan.

Disebabkan mereka jugalah, sekurang-kurangnya kita mampu membaca, menulis dan mengira. Malah, kita juga mengenal doa dan berupaya mendoakan kedua-dua ibu bapa yang melahirkan kita ke dunia ini.

Sepertimana orang tua, tidak terhitung khidmat bakti yang dicurahkan oleh guru buat kita. Andai kita punya wang setinggi gunung sekalipun, ia belum tentu cukup untuk membayar segala ilmu dan keringat yang dicurahkan.

Lantaran itu insan yang bergelar guru, cikgu, ustaz dan sebagainya begitu dipandang mulia dalam Islam.

Perbuatan itu turut diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, dalam satu riwayat, Rasulullah SAW mendidik para sahabat supaya memberikan hak dan penghormatan kepada guru.

Baginda SAW bersabda: “Bukanlah di kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelas ahli akademik itu, Nabi Muhammad SAW mengajar para sahabat agar saling menghormati di antara orang tua dan muda, serta wajib memberikan penghormatan kepada para guru.

“Ketahuilah para sahabat Nabi dahulu sangat memuliakan guru mereka. Dalam hal itu, Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para sahabat Nabi amat menghormati guru mereka iaitu Baginda SAW.

“Menurut Urwah, para sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda SAW dan tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah SAW.

“Jelaslah bahawa pertuturan dan mimik muka antara perkara yang begitu dijaga oleh para sahabat. Bahkan tidak meninggikan suara di sisi guru serta tidak menarik muka apabila berhadapan dengan guru,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Bukan itu sahaja, ujar Dr Ahmad Sanusi, ketika bertemu Rasulullah SAW, para sahabat dilihat begitu berhati-hati.

Dalam satu riwayat, Anas RA menggambarkan: “Sesungguhnya pintu rumah Rasulullah SAW itu diketuk dengan kuku-kuku.”

“Kenyataan ini menggambatkan bagaimana para sahabat bimbang untuk mengganggu Baginda sehingga mengetuk pintu rumahnya dengan begitu perlahan sekali,” ungkapnya.

Bahkan, jelas Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tersebut, Imam al-Ghazali turut mendidik perkara sama hinggakan beliau pernah meletakkan kedudukan guru lebih mulia daripada ibu bapa.

Kata Imam al-Ghazali: “Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.” (Ihya Ulum al-Din)

Meskipun guru bukanlah insan yang maksum dan turut melakukan kesalahan, Dr Ahmad Sanusi menitipkan pesan agar ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati serta memuliakan guru.

“Ia merupakan sebahagian daripada sunnah yang digariskan oleh Rasulullah SAW,” ujarnya. – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts