Henti fitnah, menghina di medsos: Ahmad Marzuk

KUALA LUMPUR – Masyarakat khususnya netizen di negara ini diseru supaya menghentikan perbuatan memanipulasi media sosial (medsos) sebagai medium untuk menyebar fitnah, tohmahan dan kata-kata berbaur hinaan dan cacian terhadap sesuatu isu yang tular.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, media sosial seharusnya dijadikan medan penyebaran dakwah dan akhlak Islam.

“Ini mudah terjadi disebabkan sifat media sosial itu sendiri yang dapat menyembunyikan identiti seseorang melalui pelbagai tetapan seperti tanpa nama (anonymous) dan tanpa dilihat (unseen) serta boleh digunakan untuk mencipta pelbagai identiti palsu (fake account) yang tidak dikenali,” katanya ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H di sini semalam

Ahmad Marzuk berkata, perkembangan itu menjadi virus yang amat bahaya dalam masyarakat terutama umat Islam dan mereka dilihat semakin jauh meninggalkan nilai akhlak Islam sebenar.

“Perbuatan menyebar fitnah di media sosial sama ada dalam bentuk penulisan mahupun ilustrasi dengan perkongsian maklumat tidak tepat berbaur provokasi dan penghinaan boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

“Penentuan salah atau benar seseorang itu bergantung kepada penerimaan masyarakat, bukan lagi dinilai melalui syariat agama,” katanya.

Katanya, fitnah kini menjadi norma baharu yang diterima umum, sedangkan ia mencerminkan keruntuhan akhlak masyarakat dan perlu dihentikan segera.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dinobatkan sebagai Tokoh Utama Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan pada sambutan kali ini.

Alimuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) menerima anugerah tersebut atas khidmat bakti dan sumbangan signifikan beliau dalam memartabatkan syiar Islam dan pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan, termasuk memperkenalkan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) serta mengkaji dan menaik taraf sukatan pelajaran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Selain itu, pekerja am pembersihan Alam Flora Sdn Bhd, Arbaani Talib menerima Anugerah Tokoh Khas Individu atas dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan beliau sepanjang menjalankan tugas yang tidak banyak diceburi atau dianggap remeh atau kotor oleh sebilangan masyarakat.

Anugerah Khas Kategori Organisasi pula diberikan kepada Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar (Kategori Masjid), Surau Putra Al-Amin, Putrajaya (Kategori Surau/Surau Jumaat), Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha, Labuan (Kategori Sekolah Menengah Kebangsaan), Sekolah Rendah Agama Salahuddin Al-Ayubi, Kuala Lumpur (Kategori Sekolah Rendah Agama) dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts