Hindari berbalah isu agama di ruang awam: Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan para mufti dalam Jawatankuasa Muzakarah bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk tidak berbalah di ruang awam tentang sesuatu keputusan yang dibuat dalam muzakarah (perbincangan).

Baginda sewaktu bertitah turut menzahirkan rasa dukacita tentang perbalahan keputusan muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al-Haqqani.

Titah baginda, isu tidak sepatutnya dipanjangkan kerana ia diputuskan secara konsensus oleh para mufti dan ahli muzakarah pada tahun 2020 di Kuantan yang memutuskan selepas kajian semula tarekat terbabit boleh diamalkan oleh pengikutnya.

“Sebab itulah, Beta menzahirkan titah pada 9 April yang lepas bahawa sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Muzakarah tahun 2020 yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada tahun 2021.

“Oleh itu, Beta menasihatkan sekali lagi kepada semua agar perbalahan yang terjadi di antara mufti dan agamawan tidak seharusnya menjadi tontonan orang awam, kerana ia hanya akan merendahkan kewibawaan ulama itu sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah (MKI) Kali Ke-121 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya boleh dibuat oleh Pengerusi Muzakarah.

Titah baginda, tiada pihak lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) boleh membuat kenyataan berkenaan.

“Hal ini penting untuk memastikan agar keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur-unsur politik kepartian.

“Jakim hanya bertindak sebagai urusetia Jawatankuasa Muzakarah MKI,” titah baginda. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts