Homoseksual adalah jenayah terkutuk, peringatan Imam Masjidil Haram

MAKKAH: Imam Masjidil Haram, Sheikh Faisal Ghazzawi mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan kecenderungan tidak bermoral yang semakin meningkat dalam masyarakat, terutama penyelewengan seksual dengan menyifatkan homoseksual sebagai jenayah keji dan terkutuk.

Menerusi khutbah Jumaat di Masjidil Haram, beliau menggariskan keperluan untuk menegakkan nilai-nilai akhlak dan menjaga kesucian hubungan suami isteri.

“Tuhan Yang Maha Kuasa telah menjadikan perkahwinan antara lelaki dan wanita sebagai undang-undang universal, tetapi syaitan menyesatkan hamba-Nya untuk melanggar batas ditetapkan dan melakukan perkara menjijikkan fitrah.

“Keadaan ini mencapai tahap yang mana syaitan bersedia melenyapkan sifat semula jadi dan menyesatkan manusia untuk memperkenalkan undang-undang yang menghalalkan perkahwinan seorang lelaki dengan seorang lelaki (gay) dan seorang wanita dengan seorang wanita (lesbian), perkahwinan campur dengan haiwan, hasutan untuk penyelewengan seksual serta semua jenis pornografi.

“Kelompok ini menggelar ia sebagai tamadun dan mengambil sikap bermusuhan terhadap pihak yang menyangkal perkara ini dan melabel mereka sebagai orang yang mundur dan ekstremis,” katanya.

Memetik laporan Saudi Gazette, beliau turut memberi amaran individu seperti itu memerangi kesucian dan kebajikan kerana tunduk kepada maksiat dan kejahatan serta mengalami kemerosotan moral, keruntuhan nilai selain terjerumus ke dalam tingkah laku binatang.

Syeikh Ghazzawi menegaskan Allah menciptakan hamba-Nya dengan naluri yang benar dan menjadikan manusia lebih mengutamakan kebajikan dan membenci serta menjauhi kemungkaran.

Beliau berkata syaitan menyelewengkan manusia dari agama yang benar, membuat mereka melanggar hukum dan ketetapan Tuhan, dan menyimpang daripada apa yang dituntut oleh fikiran yang waras dan naluri pemurah.

“Allah menciptakan manusia dan menjadikan mereka dua jenis, lelaki dan perempuan dan membezakan antara mereka. Dia menjadikan setiap seorang daripada mereka ciri dan sifat mereka sendiri.

“Syaitan campur tangan menghasut lelaki dan wanita untuk melanggar fitrah semula jadi manusia.

“Kemudian datang seseorang yang bercanggah dengan fitrahnya dan cuba mengubah jantina semula jadi manusia sehingga seorang lelaki berubah menjadi wanita, dan seorang wanita berubah menjadi lelaki,” katanya sambil memetik hadis Nabi SAW dalam hal ini. “Nabi melaknat lelaki yang berzina dan perempuan yang tidak sopan.”

Sheikh Ghazzawi turut mengecam Islamofobia dan kempen berniat jahat yang dilancarkan terhadap Islam dan umat Islam, sambil memetik insiden pembakaran al-Quran sebagai contoh.

“Mereka yang memfitnah yang memecahkan fitrah semula jadi dan mengubah ciptaan Tuhan telah menjadi muflis secara rohani dan telah menafikan semua nilai manusia dan beradab kerana mereka mengalami krisis moral dan masalah sosial.

“Mereka mencetuskan perasaan umat Islam di mana-mana dengan melancarkan kempen menyinggung perasaan dan tindakan bermusuhan terhadap dunia Islam dengan alasan kebebasan berpendapat.

“Perbuatan ini termasuk membakar kitab suci al-Quran, menghina dan mencemarkannya dan memburuk-burukkan Nabi Muhammad SAW dengan mengejek dan memfitnahnya serta mempersoalkan sunnahnya,” katanya.

Oleh itu, katanya mereka menunjukkan kebencian tersembunyi mereka terhadap umat Islam dan menyalakan api kebencian dan keganasan,” kata imam itu sambil menyatakan semua tindakan itu adalah percubaan terdesak memesongkan imej Islam. – AGENSI

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts