Hormati Guru, Tegur dengan Hikmah: Tanggungjawab Bersama dalam Dunia Pendidikan

Dalam dunia pendidikan, hubungan antara guru dan pelajar bukan sekadar hubungan akademik, tetapi juga hubungan yang berpaksikan adab, nilai dan kasih sayang. Baru-baru ini, negara digemparkan dengan satu insiden membabitkan seorang pelajar menumbuk guru di sebuah sekolah, suatu peristiwa yang sangat mengejutkan dan menyedihkan. Lebih dari sekadar berita, peristiwa ini adalah isyarat jelas bahawa wujudnya kecacatan serius dalam rantaian nilai antara pelajar, guru dan masyarakat.

Guru: Lilin Ilmu yang Perlu Dihormati

Guru bukan sekadar penyampai ilmu. Mereka adalah pendidik, pembimbing dan kadangkala menjadi pengganti ibu bapa ketika pelajar berada di sekolah. Dalam Islam, kedudukan guru sangat dimuliakan. Imam al-Ghazali menyebut bahawa kedudukan guru adalah hampir dengan para nabi kerana tugas mereka menyampaikan ilmu dan membentuk akhlak manusia.

Rasulullah SAW bersabda:

“Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menghormati orang tua, menyayangi orang muda, dan tidak mengetahui hak guru kami.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Hadis ini menggambarkan dengan jelas betapa Islam sangat menekankan adab kepada guru. Kehilangan rasa hormat kepada guru bukan sahaja merosakkan hubungan antara pelajar dan pendidik, malah memberi kesan jangka panjang terhadap persekitaran pendidikan itu sendiri.

Pelajar: Amanah Umat yang Perlu Dididik, Bukan Dihukum Sembarangan

Dalam masa yang sama, tidak dinafikan bahawa sebahagian pelajar datang dari latar belakang keluarga yang mencabar, emosi yang tidak stabil atau trauma yang tidak terungkai. Sebab itulah, proses mendidik tidak seharusnya hanya bersandar kepada peraturan dan hukuman semata-mata, tetapi perlu disertakan dengan kasih sayang, komunikasi terbuka dan pendekatan psikologi yang berhemah.

Cara menegur pelajar perlu mengikut keadaan dan keperluan jiwa mereka. Nabi SAW tidak pernah mencela secara terbuka pelaku kesalahan, sebaliknya menggunakan pendekatan tidak memalukan. Baginda bersabda:

“Apa hal dengan kaum yang melakukan begini dan begini?”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda tidak menyebut nama individu walaupun mengetahui siapa yang bersalah — satu pendekatan psikologi yang amat halus tetapi berkesan.

Perlu Ada Jambatan antara Ketegasan dan Belas Ihsan

Guru perlu diberikan kuasa untuk mendidik dengan tegas tetapi tidak kasar. Manakala pelajar perlu dipupuk dengan rasa hormat dan takut kehilangan keberkatan ilmu. Dalam masa yang sama, ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan menyuburkan budaya menghormati guru. Anak-anak yang tidak dididik di rumah untuk menghargai guru tidak akan tahu adab ketika berada di sekolah.

Mendidik Jiwa Sebelum Minda

Insiden pelajar menumbuk guru bukan hanya soal disiplin. Ia adalah petanda kegagalan kita bersama institusi keluarga, sekolah, masyarakat dan media. Kita sedang kehilangan nilai, dan apabila nilai hilang, ilmu tidak akan mampu membentuk manusia.

Marilah kita semarakkan semula rasa hormat kepada guru, dan kepada guru pula, marilah kita mendidik bukan hanya dengan ilmu, tetapi dengan kasih yang penuh hikmah.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
(Riwayat Ahmad)

Jika akhlak tidak disemai, maka ilmu hanya menjadi data, bukannya cahaya. Hormat guru bukan pilihan, tetapi satu kewajipan untuk membina generasi yang beradab dan berwibawa.

https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts