Hukum puasa selepas Nisfu Sya’ban

puasa-nisfu-syaban

 

SOALAN :

Assalamualaikum wbt Ustaz !
Nak minta penjelasan larangan puasa selepas nisfu Sya’ban, sedangkan ada hadis yang mengatakan Rasulullah saw puasa penuh bulan Sya’ban.

📚 HUKUM PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN

▪️ Terdapat hadis dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda :
إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ، فَلَا تَصُومُوا

“Jika sudah masuk pertengahan Sya’ban, janganlah berpuasa.” (HR. Abu Daud 2337)

▪️ Dalam hadis yang lain, juga dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda ;

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

“Janganlah kamu berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadan, kecuali seseorang yang sudah kebiasaan puasa sunat, maka bolehlah ia berpuasa.” (HR. Bukhari 1914 dan Muslim 1082).

▪️ Di sisi lain, Nabi saw merutinkan puasa selama sya’ban. Bahkan beliau melakukan puasa sya’ban sebulan penuh. Dari A’isyah rha, beliau mengatakan ;

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Belum pernah Nabi saw berpuasa satu bulan yang lebih banyak dari pada puasa bulan Sya’ban. Terkadang hampir beliau berpuasa Sya’ban sebulan penuh.” (HR. Bukhari 1970 dan Muslim 1156)

▪️ Demikian pula disampaikan Ummu Salamah rha beliau mengatakan ;

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ إِلَّا شَعْبَانَ وَرَمَضَانَ

“Saya belum pernah melihat Nabi saw berpuasa dua bulan berturut-turut selain di bulan Sya’ban dan Ramadhan.” (HR. An Nasa’i 2175, At-Tirmizi 736 dan disahihkan Al-Albani).

▫️Dari beberapa hadis di atas, kita dapati dua keadaan yang zahirnya bertentangan :

1. Dilarang melakukan puasa sunat setelah masuk pertengahan puasa Sya’ban.

2. Nabi saw melakukan puasa Sya’ban hampir sebulan penuh, dan dipastikan setelah masuk pertengahan bulan beliau juga puasa.

▫️Namun sebenarnya, TIADA PERCANGGAHAN dari hadis-hadis di atas.

🔺 Para ulama telah mengkompromikan beberapa hadis di atas, sehingga semuanya tetap berlaku.

🔺 Imam Al-Qurthubi menjelaskan :
“Tidak ada pertentangan antara hadis yang melarang puasa setelah memasuki pertengahan Sya’ban, serta hadis yang melarang mendahului ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya, dengan hadis yang menceritakan bahawa Nabi saw menyambung puasa Sya’ban dengan puasa Ramadan.

▫️KOMPROMI dengan memahami bahawa :

🔺Hadis larangan puasa berlaku untuk orang yang tidak menjadi kebiasaan berpuasa sunat.

🔺Sementara saranan supaya banyak puasa di bulan Sya’ban difahami untuk orang yang sudah menjadi kebiasaan puasa sunat, agar tetap istiqamah dalam menjalankan kebiasaan baiknya, sehingga tidak terputus.” (Aunul Ma’bud, 6/330).

▫️Kompromi seperti ini dijelaskan dalam hadis Abu Hurairah di atas, tentang larangan berpuasa sehari atau dua hari sebelum menjelang ramadan. Dalam hadis tersebut Rasulullah saw memberikan PENGECUALIAN, “Kecuali seseorang yang telah kebiasaan puasa sunat, maka HARUS ia berpuasa.”

▫️Puasa sunat ini merangkumi puasa sunat selama setahun, seperti Isnin dan Khamis, puasa Daud, 3 hari tiap bulan, atau puasa sunat Sya’ban yang sudah dirutinkan sejak awal.

🔺 Sementara bagi mereka yang tidak menjadi kebiasaan puasa sunat, baik puasa sunat tahunan atau dia tidak ada keinginan untuk rajin berpuasa sepanjang Sya’ban, maka ia DILARANG berpuasa setelah memasuki pertengahan Sya’ban.

📙 KESIMPULAN :

Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie adalah HARAM dan TIDAK SAH berpuasa selepas Nisfu Sya’ban KECUALI :

a. Puasa sunat tersebut disambungkan dengan hari-hari pada separuh yang pertama Sya’ban walaupun sekadar 1 hari sahaja (contoh seseorang berpuasa pada 15 Sya’ban) maka bolehlah ia berpuasa pada 16,17 hingga ramadan. Jika terputus dengan atau tanpa uzur maka tidak boleh disambung lagi hingga ramadan.

b. Puasa sunat tersebut telah menjadi kelaziman seperti Isnin dan Khamis.

c. Puasa Qadha’

d. Puasa Nazar dengan syarat tidak menyedari hari yang dinazarkan itu selepas nisfu Sya’ban.

Moga dapat memberi pencerahan.

Ustaz Abdul Rahman Iskandar (Alrais)
Sumber: https://telegram.me/soaljawabbersamaalrais

Total
0
Shares
1 comment
  1. Assalamualaikum, ustaz.
    Kalau baru 3 minggu kita istiqamah puasa Isnin dan Khamis dikira menjadi kelaziman tak?
    Mohon penjelasan ye ust..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts