Hukum solat tanpa memakai pakaian dalam

Assalamualaikum, Apakah hukum seseorang itu melaksanakan solat tanpa memakai pakaian dalam? Adakah ia akan membatalkan solat tersebut kerana berlaku banyak pergerakan? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum solat tanpa memakai pakaian dalam yang melibatkan pergerakan zakar dan payudara adalah sah kerana pergerakan tersebut termasuk dalam kategori pergerakan anggota yang tidak mampu dikawal dan bukan kategori pilihan orang yang mendirikan solat. Ia juga termasuk dalam pergerakan sedikit kerana melibatkan anggota badan yang ringan

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Perbahasan mengenai pergerakan-pergerakan yang boleh membatalkan solat telah dibahaskan oleh ulama-ulama fiqah sejak sekian lama. Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya Minhaj al-Tolibin berkenaan pergerakan-pergerakan anggota badan yang boleh membatalkan solat dalam mazhab al-Syafi‘i iaitu:

ولو فعل في صلاته غيرها إن كان من جنسها بطلت إلا أن ينسى وإلا فتبطل بكثيره لا قليله

Maksudnya: “Dan jika dia melakukan di dalam solatnya sesuatu perbuatan lain sekalipun dari jenisnya, maka terbatal solat kecuali kerana terlupa. Dan jika perbuatan itu bukan dari jenisnya, maka batal solatnya jika dilakukan dengan pergerakan yang banyak, dan pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat.”

Berdasarkan ungkapan ini, dapat difahami bahawa pergerakan yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat sekalipun ia termasuk dalam jenis perbuatan dalam solat (seperti menambah rukuk atau sujud), maka batal solat tersebut kecuali dilakukan dalam keadaan terlupa. Manakala, pergerakan yang tidak termasuk dalam jenis perbuatan dalam solat, maka terbatal solat tersebut jika ia dilakukan dengan pergerakan yang banyak. Adapun pergerakan yang sedikit tidak akan membatalkan solat.

Para fuqaha mazhab al-Syafi’i telah membahaskan berkenaan kategori pergerakan banyak yang membatalkan solat dan perbezaannya dengan pergerakan sedikit. Ia mengikut ketetapan berikut:

  1. Pergerakan yang banyak mestilah dilakukan oleh anggota badan yang berat seperti tangan, kaki dan kepala.Jika ia hanya melibatkan pergerakan anggota badan yang ringan seperti lidah, kelopak mata, bibir, zakar atau jari (tanpa menggerakkan telapak tangan seperti keadaan menggaru), maka tidak batal solat sekalipun dilakukan berulang kali kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.
  2. Pergerakan yang banyak ialah pergerakan yang dilakukan tiga kali secara berturut-turut atau lebih menurut uruf setempat. Berturut-turut itu dikira apabila pergerakan kedua tidak terputus daripada pergerakan pertama dan pergerakan ketiga tidak terputus daripada pergerakan kedua.

Ini bersandarkan kepada sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ، بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلِأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا.

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat sambil mendukung Umamah binti Zainab, yang merupakan anak perempuan Zainab dan Abu al-As bin Rabiah bin Abd Syams, ketika sujud baginda meletakkannya dan apabila berdiri baginda mendukungnya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai contoh seseorang melangkah kaki dengan dua langkah sederhana atau dua pukulan sederhana atau memberi isyarat menjawab salam tidak akan membatalkan solat kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit

Satu pandangan mengatakan “berturut-turut” adalah apabila jarak pergerakan pertama dan seterusnya adalah kurang daripada satu rakaat yang seminimum mungkin. Namun dalam kitab I’anah al-Tolibin menjelaskan bahawa ini merupakan pandangan yang lemah. Terdapat satu lagi pandangan yang menjelaskan bahawa “berturut-turut” adalah dengan kadar tomakninah anatara dua pergerakan dan pandangan ini yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita.

Pandangan kedua ini disokong dalam Taqrirat al-Sadidah, iaitu jarak pergerakan pertama dan kedua adalah dengan kadar bacaan قل هو الله احد)) atau (الباقيات الصالحات). Justeru, pengharmonian permasalahan ini menurut kebiasaan apa yang diajar kepada masyarakat dan lebih bersesuaian dengan uruf.

  1. Pergerakan tersebut mestilah bukan termasuk daripada pergerakan yang tidak dapat mampu dikawal seperti menggaru kudis dan menggigil kerana kesejukan sebagaimana dinyatakan dalam Nail al-Raja, iaitu:

ولم يكن ضروريا لا يقدر على تركة كحكة الجرب

Maksudnya: “Tidak termasuk (dalam hukum terbatal solat disebabkan pergerakan yang banyak) adalah mereka yang berada dalam keadaan darurat yang tidak mampu meninggalkan (pergerakan yang banyak kerana diluar kemampuan) seperti orang yang menghidapi penyakit kudis gatal (yang teruk).

Kesimpulannya, merujuk kepada persoalan berkenaan pergerakan zakar dan payudara bagi orang yang menunaikan solat. Di sisi fuqaha Syafi’iyyah, pergerakan ini termasuk dalam kategori pergerakan anggota badan yang bukan kategori pilihan orang yang mendirikan solat kerana ia diqiyaskan dengan solat dalam keadaan tidak mampu mengawal pergerakkan. Ia juga dikaitkan dengan pergerakan sedikit kerana hanya melibatkan anggota badan yang ringan iaitu zakar dan payudara. Justeru, hukum solat bagi mereka yang tidak memakai pakaian dalam adalah sah dan tidak membatalkan solat sebanyak mana pergerakan sekalipun.

Wallahu a’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts