Hukum sujud di atas belakang orang kerana tempat yang padat dan sempit

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah sah solat seseorang sujud di atas belakang makmum yang lain? Situasi ini berlaku ketika saya berada di luar negara. Ketika itu saya dan beberapa orang sahabat ingin mendirikan solat Jumaat di sebuah masjid yang padat dan sempit. Saya lihat ada beberapa orang jemaah yang solat di saf belakang yang tidak muat untuk sujud dan mereka sujud di atas belakang orang yang berada di hadapannya. Adakah betul perbuatan mereka melakukan sedemikian?

Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Seseorang makmum wajib sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya bagi solat Jumaat kerana kesesakan adalah wajib jika dia mampu untuk sujud dengan cara tankis iaitu bahagian punggungnya lebih tinggi berbanding kepalanya. Apabila dia melakukan sedemikian maka solatnya sah dan tidak perlu diulang semula. Perbuatan ini juga tidak memerlukan seseorang untuk meminta izin kepada orang yang di hadapannya tersebut kerana ia adalah hal yang kecil.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Persoalan berkaitan sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapan kerana tidak cukup ruang ada dibahaskan oleh para ulama. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa apabila seseorang tidak dapat sujud di atas tempat sujud bagi solat Jumaat kerana kesesakan, maka wajib dia sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya. Kata beliau:

وَإِنْ زحم المأموم عن السجود في الجمعة نظرت فان قدر أن يسجد علي ظهر انسان لزمه أن يسجد لِمَا رُوِيَ عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ “إذا اشتد الزحام فليسجد أحدكم علي ظهر أخيه “

Maksudnya: Apabila makmum tidak mampu untuk sujud kerana kesesakan dalam solat Jumaat, maka hendaklah diperhatikan situasinya. Jika mampu untuk sujud di atas belakang orang yang di hadapannya, maka wajib dia sujud. Hal ini berdasarkan athar yang diriwayatkan daripada Saidina Umar RA bahawa beliau berkata, “Apabila berlaku kesesakan dalam kalangan makmum, maka hendaklah seseorang daripada kalian sujud di atas belakang saudaranya.” (Rujuk al-Majmuk, 4:558)

Perkara ini djelaskan lagi oleh Syeikh Zakaria al-Ansari bahawa apabila seseorang makmum hanya mampu dengan cara menundukkan kepalanya ke atas belakang atau kaki orang di hadapannya, maka wajib untuk dia melakukan hal tersebut walaupun tanpa keizinan orang itu. Kata beliau:

(فَصْلٌ وَإِذَا زَحَمَ) الْمَأْمُومُ (عَنْ السُّجُودِ فِي) الرَّكْعَةِ (الْأُولَى مِنْ الْجُمُعَةِ وَأَمْكَنَهُ أَنْ يَسْجُدَ بِهَيْئَةِ التَّنْكِيسِ عَلَى ظَهْرِ إنْسَانٍ) أَوْ قَدَمِهِ أَوْ بَهِيمَةٍ أَوْ غَيْرِهَا (فَعَلَ) ذَلِكَ لُزُومًا لِتَمَكُّنِهِ مِنْ سُجُودٍ يُجْزِئُهُ وَقَدْ رَوَى الْبَيْهَقِيُّ بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ عَنْ عُمَرَ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – قَالَ إذَا اشْتَدَّ الزِّحَامُ فَلْيَسْجُدْ أَحَدُكُمْ عَلَى ظَهْرِ أَخِيهِ أَيْ وَلَوْ بِغَيْرِ إذْنِهِ لِلْحَاجَةِ مَعَ أَنَّ الْأَمْرَ فِيهِ يَسِيرٌ.

Maksudnya: Fasal apabila berlaku kesesakan yang menghalang makmum daripada sujud pada rakaat pertama solat Jumaat dan dia mampu sujud dengan cara  tankis (iaitu dengan menundukan kepala sehingga menjadikan bahagian punggung lebih tinggi berbanding bahagian kepala) di atas belakang atau kaki orang lain atau haiwan dan seumpamanya, maka wajib dia melakukannya kerana dia mampu untuk melaksanakan sujud yang menjadikan solatnya sah. Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Saidina Umar RA, bahawa beliau berkata, “Jika berlaku kesesakan yang dahsyat, maka hendaklah seseorang itu sujud di atas belakang saudaranya”, walaupun tanpa keizinan kerana keperluan melakukannya kerana ia merupakan hal yang kecil. (Rujuk Asna al-Matalib, 1:254)

Apabila seseorang sujud dalam keadaan yang disebutkan di atas dan kembali mengikut imam pada rakaat kedua solat Jumaat, maka dia berada dalam beberapa keadaan dan cara untuk menyempurnakan solat Jumaat itu adalah seperti berikut:

  • Jika dia sempat mendapatkan imam ketika imam sedang berdiri, maka dia hendaklah membaca bacaan makmum masbuq atau makmum muwafiq.
  • Dia sempat mendapatkan imam ketika sedang rukuk, maka dia hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tergugur kewajipan membaca al-Fatihah seperti keadaan makmum yang masbuq.
  • Dia sempat mengikut imam dalam keadaan imam sudah selesai rukuk, maka hendaklah dia mengikuti keadaan imam tersebut. Kemudian, apabila imam telah memberi salam, dia hendaklah menambah satu rakaat lagi, sama keadaannya seperti makmum yang masbuq.
  • Dia tidak sempat menyempurnakan sujudnya sehingga imam selesai memberi salam, maka hendaklah dia menyempurnakan solatnya tersebut sebagai solat Zohor. Walau bagaimanapun, jika dia sempat mengangkat kepala sebelum imam memberi salam, maka dia hendaklah menyempurnakan solatnya sebagai solat Jumaat.

Kesimpulannya, seseorang makmum wajib sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya bagi solat Jumaat kerana kesesakan adalah wajib jika dia mampu untuk sujud dengan cara bahagian punggungnya lebih tinggi berbanding kepalanya. Apabila dia sempat untuk mendapatkan imam sebelum imam memberi salam, maka dia menyempurnakan sebagai solat Jumaat seperti yang telah dijelaskan di atas.

WaAllahu a’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts