Ibadah korban di Negeri Sembilan ditangguhkan

 

Seremban: Pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di Negeri Sembilan tahun ini ditangguhkan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, perkara itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Katanya, perkara itu juga turut dikemukakan kepada Datuk Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

“Data menunjukkan bahawa penyebaran virus Covid-19 di Negeri Sembilan amat tinggi sehingga boleh mewujudkan kemudaratan yang tidak terkawal.

“Berdasarkan keadaan itu, ibadah korban di seluruh Negeri Sembilan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai solat sunat Aidiladha, beliau berkata, ia dibenarkan hanya membabitkan 12 ahli jemaah yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau Jumaat seperti mana sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, solat sunat Aidiladha bagi daerah atau lokaliti yang diisytiharkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.

Katanya, keputusan ini dilakukan atas syor dan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sembilan dan MKN.

“Ketetapan sedemikian perlu diambil sebagai menyahut nasihat kerajaan agar semua bentuk aktiviti berkumpulan dikawal bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Mohd Yusof berkata, Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) mengambil maklum bahawa ramai umat Islam yang berhasrat mengerjakan ibadah korban dan amat menghargai peningkatan kesedaran terhadap ibadah berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, situasi semasa membataskan pelbagai aktiviti yang sering dilakukan dalam kalangan masyarakat akibat Covid-19.

“Tambahan pula, penularan Covid-19 semakin meruncing di Negeri Sembilan dan perbuatan berkumpul beramai-ramai boleh menyebabkan penularan virus ini dengan lebih pantas,” katanya.

Mohd Yusof berkata, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) sehingga 8 Julai lalu menunjukkan secara kumulatif terdapat 50,130 kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, seramai 456 orang meninggal dunia kerana jangkitan wabak berkenaan setakat ini.

Katanya, JKNNS juga mengesan 13 kes yang dijangkiti virus yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) yang terdiri daripada tujuh kes Varian Beta dan enam kes Varian Delta. -MyMetro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts