Idris komited tingkat kebajikan umat Islam

PUTRAJAYA: Dasar Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diperkenalkan sebelum ini akan diteruskan, selain penambahan baharu bagi menjaga dan meningkatkan kebajikan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata langkah itu bukan bermakna pentadbiran baharu ketandusan idea, sebaliknya beliau akan meneruskan program yang memberi kesan baik untuk rakyat.

Beliau yang menggantikan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya akan memastikan frasa Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diikuti bagi memastikan semua agensi bawahnya dapat membina masyarakat lebih baik serta diisi dengan program bercorak Islamik.

“Bermula esok saya akan memulakan tugas dan akan berbincang dengan semua ketua jabatan serta agensi bagi mencapai sasaran pencapaian awal Indeks Prestasi Utama (KPI) tempoh 100 hari pertama sebagai syarat diletakkan Perdana Menteri yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Daging Lembu dan Dapur it’am Merdeka di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abd Aziz Jusoh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.https://911ee4add9f766ced30a3860352c164f.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Sebanyak 700 pek daging segar daripada 10 ekor lembu hasil sumbangan QSR Brands dengan kerjasama JAWI diagihkan kepada golongan terkesan dan memerlukan sekitar Putrajaya.

Ia sebahagian daripada 3,500 pek daging segar bernilai RM300,000 yang turut diagihkan kepada penerima di sekitar Kuala Lumpur dan Labuan.

Pada program sama, sebanyak 100 bakul makanan berjumlah RM100,000 hasil sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut diagihkan kepada golongan memerlukan di Putrajaya.

Idris berkata, beliau akan memantau KPI ditetapkan dicapai dengan bekerja lebih gigih selepas diberikan tanggungjawab itu.

Katanya, beliau juga mempunyai perancangan bagi penambahbaikan dan pembaharuan di peringkat hal ehwal agama dalam mempertingkat kebajikan umat Islam.

“Buat masa ini saya masih belum bersedia mendedahkan perancangan itu, kita akan bincang di peringkat jabatan dan agensi terlebih dulu sebelum ia dilaksanakan,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts