Kepimpinan dan kepengikutan tidak berakhir hanya di dunia: Timbalan Mufti

 

APABILA kita meneliti ayat-ayat al Quran, kita menemui hubungan pemimpin dan pengikut tidak hanya berakhir di dunia tetapi hubungan ini berlanjutan sampai di akhirat. Ia memberi gambaran tanggungjawab berat pemimpin dan pengikut yang melantik pemimpin.

Pemimpin akan dinilai ke arah manakah hala tuju pengikut yang akan di bawanya. Begitu juga para pengikut akan dinilai terhadap keputusannya mengangkat pemimpinnya kerana dalam masa yang sama ia telah menyerahkan wewenang kepada pemimpinnya untuk membuat polisi dan keputusan.

Jika pemimpin berjaya membawa pengikutnya kepada tauhid dan memperkasakannya maka itu satu nikmat, namun jika pemimpin membawa pengikutnya kepada syirik dan menolak tauhid maka keterikatan mereka akan berlanjutan sehingga menemui Allah dalam keadaan saling salah menyalahkan di antara satu sama lain. Namun segala-segala sudah terlambat.

Sekadar membawa contoh dialog yang dicatatkan di dalam al Quran, sudah menggambarkan betapa seriusnya hubungan pemimpin dan pengikut di akhirat nanti. Firman Allah SWT:

“Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini? Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: “Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya. Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari. Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja” (Ghafir: 47-50)

Firman Allah lagi:

“Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. “Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!” (Al-Ahzab: 68-69)

Pada ketika itu, sudah terlambat penyesalan dan percubaan untuk memberikan alasan terpedaya dan terkeliru sudah tidak nilainyan lagi. Firman Allah SWT:

“Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? ” Mereka menjawab: “Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu).” (Ibrahim: 21)

Maka peluang untuk menjadi pemimpin mahupun peluang untuk memilih pemimpin adalah satu tanggungjawab yang besar di hadapan Allah SWT. Di dalam musim pilihanraya, di samping menilai menifesto bakal pemimpin yang menawarkan diri untuk dilantik menjadi pemimpin, antara kayu pengukur penting yang wajib diambil kira ialah sejauh mana bakal pemimpin kita di dunia ini bakal memimpin kita dengan selamat mengetuk pintu-pintu syurga nanti di akhirat.

Di dalam konteks negara kita Malaysia, kita mahukan para pemimpin yang serius memartabatkan Islam terus kukuh sebagai cara hidup di tanah air ini bukannya para pemimpin yang mengorbankan Islam demi meraih sokongan walaupun terpaksa bertolak ansur dengan prinsip-prinsip asas Islam.

Jika ini difahami oleh rakyat Malaysia, kita akan menemui setiap pihak cuba bersaing menawarkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti tinggi dan sangat komited dengan Islam. Ketika itu kita akan memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik, bukannya terpaksa memilih yang kurang mudarat daripada yang mudarat-mudarat belaka.

Sahibus Samahan Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts