Inilah penyelesaian semua masalah

 

Bila kita berhadapan dengan masalah, dan itulah lumrah manusia yang dipikulkan oleh Allah SWT pelbagai masalah dan cabaran dalam hidup supaya Dia menguji.

Di sinilah antara ujian yang dikenakan, iaitu bagaimana kita menyelesaikan masalah ataupun berhadapan dengannya.

Kalau kita di tempat kerja dan banyak masalah timbul itu dan ini, ramai yang bersemangat di waktu pagi, bergegas ke tempat kerja ataupun melihat phone di awal pagi bagi menyelesaikan masalah dengan segera, dengan harapan makin banyak masa diberi makin banyak masalah dapat di selesaikan. Sebenarnya kita silap!!

Kita selalu lupa, sebenarnya cara menyelesaikan masalah yang sebenar adalah mengadu dan meminta dipermudahkan urusan kepada penyelesai semua masalah dalam alam ini, iaitu Allah SWT Robbul Alamin.

Allah SWT berfirman :

(أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَٰهٌ مَعَ اللَّهِ ۚ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ)

“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).” [Surah An-Naml: 62]

Bangunlah di tengah malam, atau hampir di waktu subuh, solat dua, tiga, atau 12 rakaat, bermunajat kepada tuhan pemilik kunci segala kebahagiaan dan kemudahan.

Sebenarnya itulah penyelesaian yang tepat dan paling berkesan. Dengannya Allah buka pintu keberkatan masa, kemudahan kerja, lalu mudahlah segala urusan yang asalnya susah.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis:

(( عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ قَالَا: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ يُمْهِلُ حَتَّى إِذَا ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الْأَوَّلُ نَزَلَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: هَلْ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ؟ هَلْ مِنْ تَائِبٍ؟ هَلْ مِنْ سَائِلٍ؟ هَلْ مِنْ دَاعٍ حَتَّى يَنْفَجِرَ الْفَجْرُ؟))
[مسلم عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ]

Daripada Abu Saied dan Abu Hurairah mereka berkata: Rasulullah SAW telah bersabda : sesungguhnya Allah SWT membiarkan masa berlalu hingga berlalunya satu pertiga malam yang pertama Allah akan turunkan rahmatnya ke langit dunia dan berkata: Adakah yang memohon ampun? adakah yang bertaubat? adakah yang meminta hajat? adakah yang berdoa? sehinggalah masuknya waktu fajar. Hadis riwayat Imam Muslim RH.

Wallahuallam, semoga kita makin dekat dengan Allah SWT Robbul Alamin.

Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts