Islam dan bahasa Melayu berpisah tiada

 

BAHASA Melayu seringkali dipandang enteng oleh sesetengah golongan, lebih malang dalam kalangan anak Melayu sendiri.

Orang yang celik sejarah, budaya dan jati diri akan berasa hebatnya bahasa Melayu. Ianya bahasa yang penuh nilai sastera, nilai ketamadunan dan peradaban dan semestinya penuh nilai keislaman. Malahan, kita harus berbangga dengan bahasa ini yang satu masa dulu pernah memberi impak yang besar ke atas dunia.

Hal ini diperakui oleh Profesor Syed Muhammad al Naquib Ali al-Attas sendiri yang pernah menyamakan impak bahasa Melayu ke atas bahasa asal Semenanjung Tanah Melayu (Old Javanese-Sanskrit) setelah datang Islam dengan impak bahasa Arab ke atas Graeco-Roman dan Irano-Persian pada era kegemilangan Islam.

Walaupun, bahasa Arab sedang menikmati kemuncak kesusateraannya, akhirnya bahasa Arab menjadi terikat dengan Islam. Malah, al-Quran pula menjadi syawahid (bukti) dalam pelbagai kaedah nahw, sarf dan balaghah.

Bahasa Arab yang mengalami ‘pengislaman’ menjadikan ianya diangkat kepada satu martabat yang berbeza. Hasilnya bahasa Arab – bahasa utama Islam dan bahasa al-Quran – menjadi mukjizat bahasa yang meletakkan ianya mengatasi semua bahasa yang lain.

Begitu juga dengan bahasa Melayu. Menurut Syed Muhammad al Naquib, bahasa Melayu mengatasi bahasa Sanksrit-Old Javanese dari sudut saintifik, kejelasan, struktur, konteks, sebutan, makna dan lain-lain sehingga berupaya menggantikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa utama masyarakat, terutama sebagai medium bahasa penyebaran Islam seterusnya berjaya menjadi ‘lingua franca’ pada era keemasan kesultanan Melayu Melaka.

Kekayaan, kelembutan dan ketepatan istilah-istilah bahasa Melayu menjadikan bahasa ini begitu akrab dengan nilai-nilai Islam seterusnya memudahkan masyarakat tanah Melayu menerima Islam dengan hati yang terbuka menggantikan anutan Hindu-Buddha nenek moyang selama ribuan tahun.

Oleh itu Prof Syed Muhammad al Naquib seringkali menekankan peranan bahasa sebagai antara instrumen terpenting dalam proses pengislaman ilmu (Islamization of Knowledge) setelah bahasa Arab ‘dikorupkan’ oleh Barat sehingga ia tidak lagi diangkat ke tempat yang sepatutnya.

Perkara yang sama perlu dielakkan daripada berlaku kepada bahasa Melayu.

Bahasa Arab diangkat martabatnya dengan Islam. Bahasa Melayu juga diangkat martabatnya dengan Islam. Dan Islam diangkat pula kedudukannya dalam masyarakat dengan bahasa Melayu.

Dalam konteks Tanah Melayu, Islam dan bahasa Melayu berpisah tiada.

Adam Badhrulhisham
Pensyarah Usuluddin
Kolej Universiti Islam Melaka

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts