Islam melarang buka ruang kemaksiatan: Timbalan Mufti Perak

 

HAKIKAT kemaksiatan dan kemungkaran ialah manusia berani melakukan sesuatu yang dibenci dan dilarang oleh Allah SWT. Ada unsur keberanian untuk menentang peraturan Allah SWT di dalam dirinya. Faktornya sangat banyak tetapi dorongan hawa nafsu dan tewas dengan godaan syaitan adalah lebih dominan dari factor kejahilan.

Di samping kita wajib menjauhkan diri kita daripada kemaksiatan berkenaan, kita dilarang menggalakkan, memberi ruang dan menyetujui kemungkaran berkenaan.

Allah melarang kita bekerjasama menjayakan apa-apa juga program atau aktiviti yang boleh mendatang dosa dan permusuhan seperti di dalam firmanNya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Al-Maidah: 2)

Bahkan Rasulullah SAW menjadikan kebencian di dalam hati itupun sebagai satu “tindakan” terhadap kemaksiatan dan kemungkaran apabila tindakan-tindakan lain telah menemui jalan buntu. Maka secara mafhumnya, kita dilarang sama sekali membiarkan apatah lagi menggalak dan memberi ruang kepada kemaksiatan dari terus berlaku.

Dari Abu Sa’id Al Khudri RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : Siapa yang melihat kemunkaran maka ubahlah dengan tangannya(kekuasaannya), jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman. (Riwayat Muslim)

Maka kita kena berhati-hati dengan tindakan kita jangan sampai diketegorikan sebagai membantu di dalam perkara kemaksiatan.

Adalah salah kita membantu memberikan peruntukan kewangan mahupun menghulurkan derma ataupun menganjurkan kutipan derma untuk acara-acara kemaksiatan. Kumpulan-kumpulan ataupun pertubuhan yang telah diisytiharkan oleh fatwa sebagai sesat tidak sepatutnya mendapat bantuan kewangan.

Meluluskan permit kelulusan untuk berhimpun bagi maksud menzahirkan syiar-syiar maksiat dan kemungkaran juga termasuk di dalam kategori membantu kemungkaran.

Membenarkan mahupun menyewakan premis untuk tujuan aktiviti dan program kemaksiatan juga dikira sebagai bersekongkol dengan kemaksiatan itu.

Penyataan-penyataan yang meninggalkan kesan meremehkan maksiat dan seolah ada peluang-peluang lain untuk melakukannya juga sebenarnya tindakan yang bukan menghentikan perlakuan itu sebaliknya memberi ruang baru untuk meneruskan maksiat sedia ada seperti ungkapan Pernyataan “LGBT ada hak di Malaysia asal bukan terbuka” jelas bertentangan dengan ayat Allah SWT: “Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.” (Al-An’am: 120)

Menggambarkan sesuatu yang disuruh oleh agama dengan gambaran sinis pun boleh membawa persepsi membuka ruang meremeh-remehkan suruhan agama. Contohnya memandang sinis semua usaha untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini sedangkan ia adalah arahan al-Quran mahupun suruhan Rasulullah SAW.

Bahkan al-Quran secara jelas menjelaskan ciri utama syaitan itu sangat suka menjerumuskan umat Islam ke kancah permusuhan dan persengketaan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Al-Maidah: 91)

Di dalam syariat Islam pun ada konsep saddu zari’ah iaitu mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya. Sebagai contoh melihat aurat ajnabi diharamkan. Ia perlu dicegah kerana perbuatan tersebut membuka laluan ke arah zina.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts