Islam tegah troll serang peribadi, buka aib

 

PERBUATAN troll atau menyindir semakin menjadi perhatian sehingga dianggap budaya baharu media sosial apabila netizen menggunakannya untuk menyatakan perasaan dan emosi yang mengheret masyarakat ke medan perbalahan.

Gejala itu dilihat lebih menimbulkan banyak keburukan dan kemudaratan kerana dibimbangi mewujudkan persengketaan, sekali gus menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.

Pendakwah, Abdul Halim Abdul Hafidz, berkata Islam menegah dan melarang sesuatu perbuatan yang boleh membawa kepada kemudaratan kepada umat.

“Budaya troll tidak sesuai dalam masyarakat kita yang terkenal dengan ketinggian budaya timur yang penuh dengan kesantunan, apatah lagi Islam melarang kita melakukan perbuatan negatif.

“Sekiranya ia bersifat keterlaluan seperti menyindir dalam bentuk serangan peribadi dan membuka aib seseorang tentu hukumnya haram,” katanya.

Abdul Halim berkata, Islam menegah kita daripada membuka aib kerana ia bersifat peribadi seperti firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Apakah ada antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Jelas Abdul Halim, larangan mendedahkan aib individu boleh dianggap sebagai tidak bermaruah malah boleh mencetuskan pertelingkahan antara individu dan masyarakat.

Perbuatan tidak bertanggungjawab

“Memang dalam sebahagian situasi tertentu, aib boleh didedah atau diberitahu tetapi ia membabitkan soal akhlak dan perbuatan sebagai peringatan serta teladan kepada yang lain.

“Namun, sekiranya dengan niat menjatuhkan dan memalukan seseorang, ia perlu dijauhi,” katanya.

Beliau berkata, budaya troll di media sosial boleh disifatkan seperti perbuatan baling batu sorok tangan yang tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab.

“Sebelum wujudnya troll, sudah ada gejala seperti surat layang dan surat berantai yang disebarkan bertujuan menjatuhkan seseorang.

“Apa saja istilah digunakan, ia mempunyai unsur fitnah dan adu domba kerana apabila tersebar, sudah tentu penyebarnya akan turut sama terpalit dengan dosa.

 

 

“Apabila ia disebarkan di media sosial dan terus tersimpan di internet, pihak yang terbabit akan menanggung dosa berterusan selama mana tersimpan dan terus tersebar,” katanya.

Abdul Halim mengingatkan agar kita tidak perlu bersikap untuk menjuarai sesuatu isu atau menjadi orang pertama yang menyebar tanpa terlebih dulu membuat penelitian dan usul periksa.

“Sekiranya tidak pasti, cara pendekatan yang lebih baik adalah dengan tidak menyebarkannya kerana mesej yang sering kali disebarkan di media sosial termasuk dalam aplikasi perhubungan sering kali membuatkan kita tertipu.

Selidik sumber

“Jadi jangan mudah percaya sebaliknya selidik terlebih dulu sumber dan sokongannya agar ia maklumat yang sahih,” katanya.

Allah SWT berfirman: “Jika ada seorang fasik datang kepada kalian dengan membawa suatu berita penting, maka telitilah dulu agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian.” (Al-Hujurat: 6)

Beliau turut menyarankan umat Islam untuk membuat pertimbangan sama ada penyebarannya bermanfaat atau tidak dan sekiranya tidak mendatangkan sebarang faedah, adalah lebih baik untuk membiarkannya saja.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari)

Katanya, kita tidak boleh menyalahkan dan menolak perkembangan teknologi sebaliknya perlu berhati-hati dan bijak menggunakannya agar ia dapat memberi manfaat.

“Sebenarnya keburukan yang wujud disebabkan perkembangan media sosial ini juga disebabkan sikap kita yang menzalimi diri sendiri,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts