Israk Mikraj detik muhasabah diri cari kesempurnaan solat

 

ISRAK Mikraj baru sahaja berlalu. Menurut tradisi keilmuan Islam, ulama dan sejarawan Islam berbeza pandangan dalam menentukan tarikh sebenar terjadinya peristiwa itu.

Walaupun terdapat perbezaan pandangan, apa yang penting, pensyariatan ibadat solat berlaku ketika Israk Mikraj, sekali gus elemen terpenting dalam peristiwa itu.

Dalam mengenangkan peristiwa Israk Mikraj, ia menuntut kita untuk menyemak dan menilai kembali pelaksanaan ibadat solat dalam kehidupan seharian.

Walaupun sebahagian kita mungkin beranggapan ibadat solat tidak perlu lagi dibicarakan, malah menganggap banyak lagi perkara lain perlu diutamakan, Rasulullah SAW banyak mengajarkan hakikat kepentingan solat ini.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara pertama yang akan dinilai pada akhirat daripada amalan seseorang hamba itu ialah solat. Jika baik solatnya, maka dia akan berjaya dan selamat, sekiranya buruk solatnya, maka dia akan menyesal dan rugi. (Hadis riwayat Tirmizi)

Banyak perkara perlu direnungi bersama dan dijadikan fokus muhasabah mengenai pelaksanaan ibadat solat dalam kehidupan seharian.

Pertama, ibadat solat mestilah dilaksanakan sebanyak lima waktu sehari semalam. Namun, apakah kita tergolong dalam kalangan orang Mukmin yang mengerjakan ibadat solat secukupnya? Atau apakah masih ada kelompangan dalam pelaksanaan ibadat solat itu?

Malah, lebih malang lagi sekiranya kita tergolong dalam kalangan mereka yang langsung tidak mengerjakan ibadat itu dalam kehidupan seharian.

Realiti yang sangat menyedihkan adalah masih terdapat ramai tidak mengerjakan ibadat solat dalam kehidupan seharian, sedangkan nama mereka menunjukkan mereka orang Islam.

Kedua, ibadah solat mestilah dilaksanakan dalam keadaan mempunyai ilmu pengetahuan benar dan tepat. Ini kerana untuk memenuhi apa disabdakan Rasulullah SAW dalam hadis: Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.” (HR Bukhari)

Sudah tentu mustahil untuk kita yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, terutama pada akhir zaman ini untuk melihat sendiri bagaimana Baginda mengerjakan ibadat solat.

Namun, ulama Islam banyak menulis, menghurai dan memperincikan bagaimana pelaksanaan solat dalam kitab mereka berdasarkan nas hadis Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, kita sebagai orang Islam sepatutnya menuntut ilmu daripada guru yang mursyid (bersifat pembimbing) dan thiqah (dipercayai) berkenaan pelaksanaan ibadat solat ini.

Sebenarnya tiada istilah ‘mengikut-ikut’ atau ‘meniru-niru’ orang lain semata-mata dalam pelaksanaan solat melainkan dengan cara belajar dan menambahkan kefahaman.

Ketiga, selepas kita menunaikan ibadat solat dalam keadaan cukup lima waktu sehari semalam dengan ilmu benar dan tepat, kita juga bertanggungjawab untuk menyeru dan menyuruh orang di sekeliling kita atau mereka di bawah tanggungan untuk menunaikannya.

Ini seperti mana dinyatakan Rasulullah SAW: Suruhlah anak kamu mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah anak kamu jika mereka tidak mengerjakan solat pada usia 10 tahun. (HR Abu Daud).

Malah, jika kita melihat dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan doa Nabi Ibrahim AS: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dalam kalangan mereka yang mengerjakan ibadat solat dan begitu juga dengan zuriat keturunanku, wahai Tuhan kami perkenankanlah doa kami ini.” (Ibrahim: 40)

Jika Nabi Ibrahim AS, yang mendapat kedudukan Rasul Ulul Azmi dan gelaran Khalilullah (kekasih Allah SWT) berdoa sebegini hebat pengertiannya, apatah kita sebagai manusia biasa.

Justeru, kita lebih-lebih lagi wajar berdoa dan mengambil pengajaran daripada doa Nabi Ibrahim AS ini.

Kesimpulannya, kedatangan peristiwa Israk Mikraj ini menjadi detik sesuai untuk kita bermuhasabah dan melakukan refleksi diri terhadap pelaksanaan ibadat solat dalam kehidupan seharian.- Berita Harian

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Keilmuan Islam, Kolej Universiti Islam Melaka

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts