Lebih banyak produk modal Islam diperlukan: Sultan Nazrin

 

KUALA LUMPUR – Terdapat keperluan besar untuk mengembangkan produk modal Islam ba­gi memastikan pergantungan yang lebih rendah ke atas sistem perbankan, selain mewujudkan kestabilan kewangan yang lebih tinggi, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, aset perbankan Islam hari ini menyumbang kira-kira 80 peratus daripada sistem kewangan Islam dunia, manakala produk modal Islam menyumbang baki 20 peratus.

“Ini bermakna kelas aset lain seperti sukuk, dana modal bersama dan teroka, ekuiti persendirian, insurans dan pembiayaan mikro serta pembiayaan orang ramai, perlu dibangunkan pada kadar yang lebih cepat,” titah ba­ginda dalam ucapan perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2017 kali ke-14 hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, asas utama pasaran modal Islam ialah pasaran sukuk dan ekuiti.

“Kedua-duanya telah meng­a­lami pertumbuhan positif dengan jumlah sukuk global hari ini bernilai AS$320 bilion (RM1.35 trilion). Secara puratanya dalam tempoh tiga tahun lepas, kira-kira satu perlima terbitan dalam bentuk korporat, manakala empat perlima terbitan membabitkan negara atau berkaitan negara.

“Pasaran sukuk secara keselu­ru­hannya berkembang, namun ke­dudukan pasaran sukuk korpo­rat berbeza, dengan merekodkan­ aliran menurun sejak empat tahun lepas. Ini perlu ditangani bagi mengubahnya,” titah bagin­da.

Menurut baginda, terbitan su­kuk sering dilihat sebagai sesuatu yang mahal, memakan masa dan kompleks, manakala ada berpendapat bahawa ini menghalang penyertaan peserta korporat walaupun ini mungkin mereka tidak biasa dengan produk berkenaan.

“Oleh itu, perlu ada usaha yang lebih bersepadu untuk mempromosi dan mendidik sektor korporat supaya mereka lebih bersedia untuk mengintegrasikan sukuk ke dalam rancangan kewangan korporat masing-masing. Mereka yang terlibat dalam produk mo­dal Islam juga perlu bekerjasama jika mahu pasaran sukuk korporat mencatatkan aliran menaik,” titah Sultan Nazrin.

Baginda juga menegaskan bahawa selain perlunya terbitan su­kuk korporat yang lebih tinggi, ekuiti dan dana Islam juga tidak mencatat prestasi yang baik.

“Kita semua telah mendengar kisah kejayaan indeks ekuiti Islam telah mengatasi indeks konvensional. Namun yang kurang diketahui ialah jumlah dana Islam dan saiz aset dana Islam semakin berkurangan.

“Daripada 1,100 lebih dana Islam yang ada, kurang daripada tiga suku mempunyai purata AS$25 juta (RM105.75 juta) Aset Dalam Pengurusan.

“Ini jauh berbanding purata AS$395 juta (RM1.67 bilion) yang digerakkan oleh dana konvensio­nal di peringkat global. Yang memburukkan lagi keadaan, kira-kira satu pertiga daripada 1,000 lebih dana Islam diklasifikasikan sebagai tidak aktif,” titah baginda.

Mengulas mengenai takaful, Sultan Nazrin bertitah, industri itu merupakan satu-satunya yang mengekalkan pertumbuhan dua digit, walaupun ini disebabkan oleh asas kecil penyumbang takaful.

Melalui 305 pengendali takaful dan takaful semula, jumlah aset takaful berjumlah AS$25 bili­on­­ (RM105.75 bilion) atau lebih sedikit daripada satu peratus daripada sistem ke­wangan Islam global. Namun, pe­nembusan insurans di keban­yakan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) masih rendah.

“Ia merupakan pasaran besar yang belum diteroka dan syarikat takaful perlu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menyediakan produk dan perkhid­matan inovatif kepada pe­langgan berpotensi mereka,” titah Sultan Nazrin.

Sementara itu, Kewangan Islam perlu meneroka teknologi kewangan (fintech) sejajar dengan keperluan pembiayaan global, titah Sultan Nazrin.

Titah baginda, ini adalah sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang mana teknologi individu sedang pesat dibangunkan dan memperkukuh­kan antara satu sama lain. – Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts