Istilah ‘kafir’ bukan penghinaan

Bangi – Orang bukan Islam tidak perlu berasa hati atau berasa terhina dengan perkataan kafir kerana istilah itu tidak membawa sebarang maksud penghinaan.

Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS), Datuk Zamri Hashim menjelaskan, perkataan kafir adalah perkataan Arab berasal dari kata ‘kafara’. 

Beliau berkata, berdasarkan rujukan kamus atau kitab rujukan berbahasa Arab seperti Kitab Maqayis al Lughah ibnu Faris, al-Mufradaat mahupun Syarah al-Bukhari Ibnu Battal, definisi perkataan al kufr membawa maksud menutupi sesuatu.

Malah, orang Islam yang tidak menghargai dan mensyukuri nikmat Allah disifatkan seperti ‘menutupi’ nikmat dari-Nya, dan mereka disebut sebagai ‘kufur nikmat’.

“Dari sudut bahasa Arab, petani juga dipanggil kafir kerana dalam kerjaya sebagai petani, mereka menutupi benih dengan tanah ketika bercucuk tanam.  

“Orang yang masih belum membuka hatinya dan masih kekal menutupi sanubarinya untuk menerima Islam sebagai agama, mengesakan Allah, mengimani Nabi Muhammad ﷺ sebagai rasul terakhir maka dinamakan kafir.

“Adapun perkataan yang berlawanan dengan kafir adalah Muslim yang membawa maksud orang yang menyerah diri dengan membuka hatinya untuk menerima ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Ustaz Zamri menegaskan, perkataan kafir itu sendiri sesekali tidak membawa maksud penghinaan yang perlu ditakuti. 

Bahkan, di dalam al Quran sendiri ada surah khas yang dinamakan sebagai surah Al-Kafiruun. 

“Surah ini sangat mudah difahami. Orang Islam dan bukan Islam boleh terus memahaminya walaupun hanya membaca terjemahannya.

“Kesimpulannya perkataan kafir itu adalah istilah dalam al-Quran yang tidak mengandungi apa-apa maksud penghinaan bahkan satu istilah pengenalan bagi golongan yang masih menutup hatinya menerima Islam bahkan Islam tidak pernah memaksa untuk membuka hati menerima Islam secara kekerasan.

“Adapun kesudahan orang kafir selepas mati, itu adalah kepercayaan umat Islam dan juga tidak mampu dipaksa untuk diparcayai oleh orang kafir sebagai mana kepercayaan agama lain yang tidak boleh dipaksa orang Islam mempercayainya,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts