Isu ilmu hadis yang dibina atas dzon?

Walaupun dah banyak orang ulas, bagi saya memadailah untuk saya rumuskan bahawa :

  1. Perbahasan hadis ini termasuk dalam penerimaan perkhabaran perseorangan (Khabar Aahad) sebagai sumber ilmu dan hujjah. Ulama ahli sunnah wal jamaah bersepakat menerima Sunnah (yang dimasukkan dalam topik Khabar) secara umumnya sebagai dalil dan sumber hukum. Mengingkarinya boleh menjatuhkan seseorang ke dalam lembah kekufuran.
  2. Tiada perbalahan bahawa Perkhabaran Mutawatir membawa kepada maklumat yang qat’ie, kerana hukum adat membawa kepada mustahilnya penipuan berlaku secara berjemaah (bilangan yang ramai pada setiap rantaian sanad) oleh umat Islam.
  3. Adapun mengenai Khabar Aahad (hadis yang diriwayatkan oleh perseorangan atau tidak mencapai tahap mutawatir) secara per se, walaupun dilalahnya dzonniyah, apabila ia menepati syarat hadis sahih maka ia wajib diamalkan (dengan menepati syarat beramal dengan nas). Ini bertepatan dengan kaedah bahwa : Wajibnya beramal dengan dzon.
  4. Dalam beramal dengan hadis Ahad, tidak pula menjadi syarat untuk kita yakin dan iktikad bahawa Khabar Aahad ini benar-benar diucapkan oleh Rasulullah SAW, kerana syarat mencapai iktikad itu mesti qat’ie dan tiada sebarang keraguan seratus peratus, seperti mana syarat yang wujud dalam Hadis Mutawatir dan periwayatan Al-Quran.
  5. Apa yang dibina oleh ulama hadis dalam ilmu hadis adalah syarat-syarat aqliy yang dibina bagi memastikan secara logik bahawa hadis itu sahih dan benar diucapkan oleh Rasulullah SAW.
  6. Pensyaratan hadis sahih itu sendiri adalah suatu istilah baharu yang berbeza dengan syarat hadis sahih pada zaman sebelum kemunculan para imam hadis.
  7. Sebelum kedatangan mereka, hadis sahih ditakrifkan sebagai ما عليه العمل iaitu ‘apa yang diamalkan’. Pentakrifan hadis sahih sebagai : “Apa yang bersambung sanadnya hingga akhir…” itu hanya datang kemudian dengan berkembangnya penyebaran hadis dan membendung daripada termasuknya hadis-hadis palsu.
  8. Dalam masa yang sama, boleh kita katakan hadis sahih juga ada darjatnya, kerana itu hadis sahih dalam Al-Bukhari lebih tinggi darjatnya berbanding Sahih Muslim, dan kedua-duanya lebih tinggi berbanding yang lain. Ini kerana setiap imam mempunyai metodologi sendiri yang menentukan tahapan hadis. Jika semua hadis sahih itu satu darjat keyakinan, sudah pasti tiada beza antara kitab-kitab hadis Sahih kerana semuanya membawa kepada yakin.
  9. Perbezaan darjat itulah yang menentukan bahawa ia semua adalah peratusan keyakinan yang membuktikan bahawa hadis itu sampai kepada Rasulullah SAW. Apabila peratusan keyakinan itu makin tinggi, ia mungkin kita katakan 90 persen, atau 95 persen dan seumpamanya. Baki 5 persen itu bukanlah bermaksud mempertikai perawi yang adil dan tsiqah, ia hanyalah penilaian untuk mencapai tahap iktikad dan yakin sahaja.
  10. Walaupun demikian, saya juga melihat perbahasan yang mendalam ini tidak sepatutnya dihuraikan dengan gaya bahasa yang boleh mengelirukan dan dikhuatiri disalahguna oleh golongan berkepentingan. Saya juga ingin nasihatkan untuk kita tidak terlalu cepat menghujum, mahu mengajak berdebat yang kita sudah tahu penghujungnya, atau segera menghukum sesuatu sebelum tahu hujung pangkal sesebuah perbincangan.

Wallahua’lam bissawaab.

P/s: Ini adalah pandangan peribadi saya.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)Share

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts