Isu konsert, letakkan Islam di tempat sepatutnya

PETALING JAYA – “Tidak salah berhibur tetapi letaklah agama Islam di tempat yang sepatutnya.”

Demikian respons pendakwah bebas dan penyanyi, Ustaz Akhil Khay mengenai isu lambakan penganjuran konsert penghibur antarabangsa di tanah air sejak akhir-akhir ini.

Berkongsi pandangan, pemilik nama penuh Akhil Abdul Hayy, 52, itu berpendapat bidang hiburan bukan satu perkara yang salah tetapi orang ramai harus bijak meletakkan sesuatu yang utama sebagai hala tuju iaitu agama.

Bagaimanapun baginya, konsert tersebut berupaya untuk memberi pengaruh kurang baik terhadap golongan muda.

“Adakah konsert tersebut membantu menjaga kerohanian kita? Namun kita perlu pelihat apabila ada pula yang berpendapat hatinya tenang bila mendengar muzik sebegitu, tidak kisahlah K-pop atau rock.

“Sebab itulah ramai ustaz dan para pendakwah menyuarakan hasrat meminta dibatalkan kerana tanpa sedar, kita membajai golongan remaja dengan pengaruh muzik sebegitu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujarnya lagi, kebanjiran konsert penyanyi luar sememangnya membantu dari aspek ekonomi industri seni, namun harus dinilai semula hala tuju dan kebaikan mahupun keburukan yang diberi oleh acara sebegitu.

“Secara matang, berfikirlah secara logik. Benar semua itu membantu tetapi industri seni negara ini kita nak kekalkan dengan cara bagaimana?

“Hala tuju remaja kita nak bawa ke mana? Kita tak salahkan penyanyi luar sebab itu cara mereka tetapi Malaysia merupakan negara berdaulat dan Islam merupakan agama bagi Persekutuan,” soalnya.

Meskipun begitu, dia juga enggan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak sebaliknya sebagai individu beragama, haruslah membuat penilaian yang bijak dalam membuat pilihan.

“Jangan salah tafsir, seni itu bebas. Ada yang boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan, pilihlah.

“Jadi, kita letaklah Islam di tempat yang sepatutnya. Berhibur tiada masalah tetapi ke mana hala tujunya.

“Bukan nak salahkan sesiapa tetapi kita dah terdidik dan terpalit dengan pengaruh luar. Kita ada agama dan lebih baik itu yang kita kedepankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Akhil juga akan terlibat dengan Konsert Nasyid Legenda yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada 29 Oktober depan.

Antara penyanyi dan kumpulan nasyid yang turut terlibat sama dalam konsert tersebut ialah Nazrey Johani, Hijjaz, Rabbani dan In-Team.

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pandangan dilemparkan oleh pendakwah bebas tanah air yang berpendapat penganjuran konsert melibatkan artis antarabangsa harus dibatalkan.

Bagi mereka, kemasukan mereka ke sini bagi tujuan hiburan mampu mengundang perkara yang tidak elok di sisi agama dan memberi pengaruh buruk untuk golongan muda.

Salah satu konsert yang diminta dibatalkan ialah kumpulan popular Korea Selatan, Blackpink yang dijangka membuat persembahan di ibu negara pada Mac tahun depan. – KOSMO! ONLINE?

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Wallahua’lam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts