Isu logo kasut: Jakim beri peringatan tegas pada Vern’s

Bangi -Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pihak Vern’s Holding Sdn Bhd sudah menjelaskan kedudukan sebenar dan memohon maaf berhubung isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah.

Ketua Pengarah Jakim, Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, pertemuan telah diadakan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo selaras arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut daripada lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jakim memandang serius terhadap isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Isu ini jelas melibatkan sensitiviti umat Islam serta boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Hakimah berkata, Jakim menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan siasatan lanjut dan sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut syarikat itu, maka tindakan wajar diambil berlandaskan undang-undang negara.

“Jakim juga tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn Bhd dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan.

“Jakim memperingatkan dengan tegas kepada pihak Vern’s dan juga semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak untuk tidak membangkitkan isu-isu menyentuh aspek 3R yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian.

Katanya, semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kertas siasatan kes ini telah dibuka oleh PDRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu logo berkenaan, dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam sidang media hari ini pula Razarudin berkata 1,145 pasang kasut dirampas bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan setakat ini.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts