KUALA LUMPUR: Walaupun menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah semenjak 1 Nov lalu,

Kerajaan Arab Saudi sehingga kini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, bakal jemaah haji Malaysia juga digalakkan membuat persiapan, termasuk dengan mengikuti kursus haji yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Oleh itu saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan oleh TH secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihatkan bakal-bakal haji supaya menjaga kesihatan diri dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman kerana ibadat haji menuntut kekuatan fizikal dan mental.

“Tahun lepas, ibadat haji telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

“Marilah kita terus berdoa agar wabak ini pulih sepenuhnya dan kita dapat menjadi tetamu Allah di tanah suci semula,” kata Zulkifli. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)