Isu Palestin lebih besar dari pertelingkahan peribadi mengenai misi bantuan ke Gaza

 

Isu Palestin lebih besar daripada sekadar menyerah bantuan dan mainan atau membuat sidang media untuk mendedahkan ketidakpuasan hati terhadap usaha menyampaikan bantuan ke wilayah terjajah itu.

Di dalam wilayah Palestin, terhimpun banyak lapisan dan faktor yang tersirat, permainan geo-politik antarabangsa, politik tempatan, perebutan kuasa dan dominasi ke atas sumber bahan mentah, isu normalisasi dengan Israel, agenda Zionis dan perjuangan yang panjang untuk bebaskan Baitulmaqdis.

Fokus dan perhatian umat Islam perlu dipindahkan daripada isu-isu remeh-temeh bersifat peribadi atau perlumbaan mencari perhatian, pengiktirafan atau menonjolkan imej sebagai pembela perjuangan rakyat Palestin

Tanpa menafikan kepentingan doa untuk Palestin, kita juga perlu kepada nafas yang panjang untuk kekal bertenaga dan bersemangat dalam tempuh masa yang sangat panjang untuk menjayakan misi membangunkan semula kemusnahan dan juga sekatan-sekatan yang telah dilakukan ke atas kedaulatan negara dan hampir semua infrastruktur masyarakat Gaza.

Tidak cukup dengan Gaza, timbul juga keperluan mendesak untuk menangani penguasaan dan cengkaman pihak Zionis di Tebing Barat – melalui episod-episod keganasan, penangkapan, pembunuhan dan tindakan-tindakan provokasi di Masjid Al-Aqsa.

Kemudian, perhatian juga perlu diberi kepada tindakan bersifat pengkhianatan terhadap rakyat dan perjuangan Palestin dengan keputusan untuk bernormalisasi dan mengiktiraf Israel oleh sebahagian negara-negara Arab/Islam.

Kita belum lagi menyentuh tentang sikap dan mentaliti sebahagian umat Islam di negara ini yang melihat isu Palestin bukan sebagai isu umat Islam sejagat dan tidak ada kaitan dengan umat Islam di rantau ini. Kalau ada pun, kesedaran dan semangat ini bersifat bermusim semata-mata dengan keghairahan mencanak tinggi hanya apabila berlaku serangan ke atas Gaza.

Perjuangan untuk membebaskan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa serta seluruh tanah wilayah Palestin bukan berlaku sehari dua. Ia sudah memakan masa puluhan tahun, dengan mengorbankan puluhan ribu para Syuhada, ditambah dengan statistik kemusnahan, serangan, pencerobohan, kehancuran, penindasan, kezaliman dan pembersihan etnik ke atas rakyat Palestin.

Negara Malaysia pula adalah di antara negara-negara Islam bukan Arab yang paling konsisten dan jujur (baik di pihak pemerintah dan juga rakyat) dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka.

Puluhan misi bantuan telah dilancarkan sejak tahun 2007 setelah Gaza dikenakan sekatan antarabangsa. Terdapat beberapa NGO Malaysia yang membuka pejabat cawangan masing-masing di Gaza dan juga Tebing Barat dan juga akaun bank di sana, bagi memudahkan usaha membantu rakyat Palestin dengan pelbagai projek pembangunan dan kemanusiaan.

Keprihatinan dan semangat persaudaraan rakyat Malaysia sudah lama tertanam di hati sanubari rakyat Palestin. Semuanya hasil dari penat lelah, kesungguhan, kesabaran, keikhlasan dan keikhlasan NGO-NGO Malaysia yang menjadi tali penghubung kepada pengorbanan dan ketinggian budi pekerti rakyat Malaysia terhadap saudara-saudara mereka yang ditindas.

Kepelbagaian dari sudut pendekatan dan kaedah bantuan dari NGO-NGO ini sebenarnya lebih menguntungkan rakyat Palestin, baik di Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis mahupun di ratusan khemah-khemah pelarian yang menempatkan jutaan pelarian palestin di beberapa negara.

Ia bukan kejayaan peribadi atau misi perseorangan semata-mata.

Perbahasan di atas hanyalah sekelumit dari isu yang melingkari permasalahan Palestin. Wilayah ini menjadi sasaran rebutan sejak dari zaman perang Salib lagi hinggalah ke hari ini.

Kerana mempertahankan kedaulatan Palestin dan Baitulmaqdis jugalah Khilafah terakhir umat Islam iaitu Khilafah Uthmaniyah Turki dijatuhkan pada tahun 1923 dan khalifahnya Sultan Abdul Hamid II disingkirkan dari jawatan khalifah.

Dengan jatuhnya benteng terakhir pertahanan umat Islam ini, entiti haram Israel diwujudkan dalam Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dari situ jugalah kekuatan umat Islam telah dimusnahkan, seruan kesatuan umat Islam digantikan dengan faham nasionalisme, sekularisme, liberalisme, atheisme, evangelisme, sosialisme dan sebagainya.

Justeru itu, apabila berlakunya pertikaian dan pertelingkahan peribadi mengenai siapa yang lebih menjuarai isu Palestin, yang turut melibatkan perbahasan hangat para netizen dan penyokong masing-masing, ini secara tidak langsung telah memberi ‘kemenangan’ kepada propaganda, strategi dan agenda pihak-pihak yang memusuhi perjuangan rakyat Palestin khususnya Zionis, iaitu mengobarkan api persengketaan dan perpecahan sesama umat Islam, menyibukkan mereka dengan isu-isu remeh temeh, mencandukan mereka dengan paparan-paparan imej, populariti, pengikut dan penyokong … yang saling berbalah dan tuduh-menuduh.

Masa berharga yang terbuang, kekuatan persaudaraan yang disalahguna, kesatuan yang dipersia-siakan dan keutamaan yang dikelirukan … semua ini hanya menguntungkan pihak musuh.

Sampai bila kita ingin biarkan jati diri dan kewibawaan sebagai sebaik-baik umat (khaira ummah) terperangkap di dalam putaran yang sia-sia ini?

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Peserta Misi Solidariti Aman Palestin-Gaza 2012
Penasihat Aman Palestin Kedah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts