JAIM benarkan urusan cerai, nikah, rujuk mulai 1 Julai

 

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan urusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk (NCR) serta kekeluargaan Islam bermula 1 Julai depan.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, bagaimanapun setiap permohonan dan urusan perlu dilakukan secara janji temu di kaunter Bahagian Pembangunan Keluarga (BPK) JAIM dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Menurutnya, kaunter berkenaan akan beroperasi bermula 8.30 pagi hingga 12 tengah hari pada Isnin, Selasa dan Rabu, kecuali hari kelepasan am.

“Turut dibuka ialah temuduga perkahwinan, pengesahan wakalah wali, pembetulan kesilapan pada sijil NCR, khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan dan kursus pra perkahwinan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jelas beliau, bagaimanapun majlis nikah hanya boleh diadakan di PAID atau lokasi yang dibenarkan JAIM selain keutamaan majlis akad nikah hanya kepada pemohon yang telah mengemukakan tarikh cadangan majlis akad nikah pada 1 hingga 31 Julai.

“Bagi memastikan urusan akad nikah berjalan lancar, majlis hanya akan diadakan dalam tempoh 15 minit (termasuk khutbah nikah dan lafaz taklik) dengan kehadiran tidak lebih enam individu.

“Bakal pengantin termasuk wali dan wakil keluarga yang hadir ke majlis akad nikah juga wajib menjalani ujian calitan Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum majlis,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts