Jaim benarkan warga asing lengkap 2 dos solat di masjid

Melaka: Selepas tidak dibenarkan solat di masjid dan surau di negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, kini Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sudah benarkan warga asing berbuat demikian mulai 1 Oktober ini.

Bagaimanapun, hanya mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan solat di masjid dan surau.

Pengarah Jaim Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kebenaran itu sejajar kebenaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Melaka yang memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 5 September lalu.

“Warganegara Malaysia, penduduk tetap dan warga asing dibenarkan hadir menyertai aktiviti di masjid dan surau tetapi warga asing itu hendaklah daripada mereka yang sudah lengkap vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jaim bersetuju mengeluarkan ketetapan baru berkaitan aktiviti mengimarahkan dan jumlah maksimum jemaah solat fardu, Jumaat dan jenazah di masjid serta surau di Melaka berkuat kuasa 1 Oktober 2021, katanya.

Bagaimanapun, kanak-kanak kurang 12 tahun tidak digalakkan hadir di masjid dan surau.

Jaim sebelum ini membenarkan kehadiran maksimum 500 jemaah di tujuh masjid kerajaan mulai 5 September lalu sejajar langkah negeri terbabit memasuki Fasa 2 PPN.

Bagaimanapun, bagi masjid kariah dan institusi pula, maksimum kehadiran adalah 200 jemaah manakala di surau hanya 100 orang.

Ketetapan itu adalah bagi solat Jumaat, fardu dan jenazah tetapi jumlah maksimum jemaah bergantung kepada keluasan masjid atau surau berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Contohnya, jika masjid hanya mampu memuatkan 300 jemaah dengan penjarakan sedemikian, maka jumlah maksimum jemaah adalah 300 orang.

Selain itu, JAIM turut membenarkan aktiviti akad nikah dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kuliah maghrib, tazkirah, bacaan surah Yasin dan singgah solat di masjid atau surau.

Sebelum 5 September lalu, kebenaran kehadiran jemaah di masjid kerajaan adalah 250 orang, manakala masjid kariah 100 orang dan surau 50 orang sahaja. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts