JAIP lupuskan lapan tan abu al-Quran rosak

PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi melupuskan kira-kira lapan tan abu naskah dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran di perairan negeri ini, Mei ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata pelupusan itu membabitkan naskah dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran milik individu, surau dan masjid yang rosak akibat kejadian banjir di beberapa daerah pada 2021.

Katanya, ia juga termasuk kertas peperiksaan mengandungi ayat al-Quran milik sekolah agama negeri yang rosak disebabkan sudah terlalu lama dan faktor lain.

“Proses pelupusan kini menggunakan dua unit insinerator atau relau di Pusat Pemuliaan al Quran JAIP di Peramu, Pekan yang mampu melupuskan kira-kira 200 hingga 300 kilogram sehari. Gas digunakan sepenuhnya sebagai bahan api.

“Kita juga membenarkan mereka untuk datang sendiri menghantar ke pusat ini untuk melupuskan tanpa sebarang bayaran,” katanya, di sini semalam.

Noridzuan berkata, tahun lalu pihaknya melupuskan kira-kira enam tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran berbentuk bongkah di perairan negeri ini dan jumlahnya bertambah lebih dua kali ganda.

“Selepas proses membakar dilakukan dalam relau yang mengambil masa lebih lapan jam, proses menghasilkan bongkah dilakukan dengan mengaulkan abu dengan air. Bekas digunakan sebagai acuan dan kemudian dijemur antara tiga hingga enam hari bergantung kepada cuaca.

“Mereka yang ingin melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran boleh terus berhubung dengan Bahagian Penyelidikan JAIP,” katanya yang bercadang untuk membina relau di setiap daerah di negeri ini. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts