JAIPk akan tegur jika bacaan imam tidak ikut hukum tajwid

IPOH: Tindakan menegur akan diambil oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sekiranya bacaan imam dalam solat di masjid seluruh negeri ini tidak menepati hukum tajwid, kata Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.

“Bagaimanapun, tiada laporan mengenainya diterima setakat ini,” katanya ketika ditanya mengenai video tular di laman Twitter memaparkan bacaan imam termasuk bagi surah al-Fatihah ketika solat Tarawih di sebuah masjid di negeri ini yang disifatkan sangat laju.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang reaksi ketika ditanya sama ada bacaan imam seperti dipaparkan dalam rakaman video berkenaan menepati hukum tajwid atau sebaliknya.

“Sekiranya kami dapati bacaan imam tidak menepati hukum tajwid, maka teguran akan diberikan kepada pihak berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi melalui WhatsApp, malam tadi.

Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik Jumaat lalu melalui pengguna akaun PERAK POWER @iloveyouIPOH itu, kejadian didakwa berlaku di Perak, namun lokasi masjid tidak dinyatakan secara terperinci.

Menurut keterangan pada video itu, solat Tarawih lapan rakaat yang didirikan jemaah masjid itu selesai hanya dalam tempoh 10 minit dengan beberapa warganet meninggalkan komentar bahawa masjid yang dimaksudkan itu terletak di Taiping, Perak.

Setakat tengah hari ini, video terbabit mendapat lebih 218,000 tontonan dengan 942 perkongsian secara ulang kicau (retweet).

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts