JAIPk tangguh aktiviti mengajar dan ceramah, tambah baik garis panduan

Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menangguhkan sementara aktiviti mengajar dan ceramah di surau, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan masjid oleh penceramah dalam serta luar negeri ini hari ini sehingga tarikh yang diberitahu kelak.

Pengarahnya Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan proses penambahbaikan Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau.

Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam supaya selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Aliran Asyairah dan Maturidiah.

Menurutnya, penambahbaikan yang dilakukan susulan penangguhan itu adalah selepas Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak membuat penelitian terhadap permohonan penceramah dari Iuar negara dan Iuar negeri Perak.

“Sehubungan itu, sehingga garis panduan muktamad untuk dikuatkuasakan, beberapa ketetapan sudah diputuskan, iaitu jawatankuasa kariah masjid, SDJ, dan surau berdaftar dengan JAIPk dikehendaki menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah mengajar di dalam masjid, SDJ dan surau.

“Begitu juga, jawatankuasa kariah masjid, SDJ, dan surau yang berdaftar dengan JAIPk adalah dikehendaki menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari dalam negeri Perak yang tiada Tauliah Mengajar di dalam masjid, SDJ dan surau,” katanya menerusi satu pekeliling yang disiarkan di Facebook hari ini.

Menurutnya, ketetapan yang berkuat kuasa bermula 23 Ogos 2023 bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

Berdasarkan Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), individu terbabit adalah anggota Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk); Mufti mana-mana Negeri di Malaysia, Pegawai Agama, guru agama yang dilantik kerajaan negeri atau Persekutuan yang mengajar atau memberi syarahan kepada pelajar sekolah atau institusi di mana dia ditugaskan, dan mana-mana orang yang pada pendapat MAIPk mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts