Kerajaan digesa tolak ICERD, elak ketegangan rakyat: Mufti Pulau Pinang

 

SHAH ALAM – Kerajaan digesa tidak meneruskan cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) demi mengelak ketegangan dan keresahan rakyat yang berterusan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia dibimbangi akan membawa kepada akibat yang lebih buruk dan sukar dibendung.

Katanya, majoriti rakyat Malaysia menolak gagasan itu menerusi reaksi ditonjolkan pelbagai pihak terhadap cadangan mengesahkan ICERD.

“Walaupun ada individu dan pihak yang menyokong cadangan meratifikasikan konvensyen tersebut dengan alasan ia akan menyediakan peluang kepada masyarakat mengemukakan aduan terhadap diskriminasi kaum, namun hal sedemikian tidak relevan dalam konteks Malaysia.

“Ia memandangkan pihak berkuasa di sini, baik yang lama mahupun yang baharu, sering berusaha menegakkan keadilan untuk seluruh rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang keturunan, kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan rundingan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi ICERD.

Semalam selepas menghadiri penutupan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) ke-26 di Papua New Guinea, Dr Mahathir dilaporkan berkata, adalah mustahil untuk negara melaksanakan ICERD kerana ia memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Wan Salim turut mengingatkan bahawa keadilan bukanlah beerti kesamarataan, sebaliknya ia adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar dan sesuai dengan kedudukannya.

Justeru katanya, tidak timbul isu hak keistimewaan orang Melayu dan kaum-kaum pribumi yang disepakati oleh semua pemimpin kaum negara ini ketika menuntut kemerdekaan dahulu.

“(Sebaliknya) Keadilan menghendaki bahawa sebagai penduduk asal negara ini, orang Melayu dan golongan Bumiputera perlu diberikan hak-hak istimewa sebagai timbal balas terhadap (sikap) ‘murah hati’ mereka berkongsi kewarganegaraan dengan kaum-kaum lain yang datang kemudian ke tanah air mereka.

“Maka berdasarkan kepada fakta sejarah ini, di samping beberapa perkara berkaitan seperti yang dijelaskan tadi, kita berpandangan tiada keperluan untuk pihak kerajaan meratifikasikan ICERD dan diharap tiada lagi desakan oleh mana-mana pihak supaya kerajaan berbuat demikian,” katanya.

Isu itu telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat di negara ini dan terbaharu, Pas serta Umno akan bekerjasama menganjurkan himpunan besar-besaran di ibu negara, 8 Disember ini bagi membantah ICERD. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts