Jakees terima permohonan sekat akaun suami culas bayar nafkah


SHAH ALAM – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakees) ada menerima permohonan daripada isteri untuk menyekat akaun bank suami atau bekas suami yang gagal membayar nafkah.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain bagaimanapun berkata, pihaknya menerima kurang daripada 10 kes berkaitan isu tersebut sejak arahan dikuatkuasakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada November lalu.

Beliau berkata, golongan isteri seperti ibu tunggal disarankan untuk merujuk kes tersebut kepada mahkamah dan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) akan membantu memfailkan kes berkenaan.

“Jika imam-imam (peserta Program Sulh) menerima aduan daripada masyarakat sekitar berkenaan isu tersebut, dia boleh mencadangkan supaya kes itu dirujuk ke mahkamah kerana BSK boleh membantu membuat tuntutan.

“Jika pihak tersebut mempunyai keperluan kewangan, BSK juga boleh membantu memberi bantuan secara one-off dalam tempoh enam bulan bergantung kepada hak-hak yang berkaitan sambil memfailkan kes tersebut,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan Rakan BSK 2021 di Dewan Muktamar Jakees di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut berkenaan bantuan yang boleh diberikan kepada golongan isteri yang tidak mendapat nafkah, Mohammad Adib berkata, seramai 300 pemohon layak menerima insentif tersebut daripada lebih 2,000 permohonan yang diterima pada tahun lalu.

Ujarnya, kerajaan negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga memberi peruntukan sebanyak RM100,000 kepada BSK untuk membantu ibu tunggal yang tidak mendapat nafkah akibat kegagalan suami membayar nafkah.

“Ibu tunggal yang memohon perlu menjalankan proses saringan untuk memastikan kelayakan dan kita akan memberinya secara one-off bergantung kepada bilangan anak.


“Jika dia mempunyai seorang anak akan dapat RM200, manakala sebanyak RM300 untuk anak dua orang, serta RM400 untuk anak tiga orang dan ke atas. Begitulah selebihnya.

“Kami harap dengan adanya bantuan daripada imam-imam (peserta Sulh) dan pendedahan begini, ia dapat menyedarkan masyarakat tentang keperluan serta tanggungjawab bapa untuk menanggung waris-waris mereka kesan daripada penceraian itu,” katanya.

Pada November lalu, JKSM memaklumkan akan menyekat akaun bank suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan mereka.

Unit Komunikasi Korporat JKSM dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari lalu. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts