Jalan pintas yang memintas fitrah kemanusiaan

 

SAYA sudah lama memendam idea yang ingin diutarakan bahawa hakikatnya dalam hidup ini tiada jalan pintas untuk sesuatu perkara. Setiap jalan ada bayarannya, dan setiap bayaran itu ada harganya yang tersendiri.

Ini kerana sunnah kehidupan adalah keadilan dan keseimbangan, tiada yang dapat lari daripada struktur keseimbangan ini.

Mungkin ada yang katakan ia ibarat karma, tetapi saya lebih cenderung untuk memilih istilah ‘keadilan universal’ yang berasaskan konsep 1=1, yakni apabila sesuatu perkara itu diperoleh, ia memerlukan satu bayaran setimpalnya untuk memperolehinya.

Dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang memperakui konsep alami ini, seperti :

1. Surah An-Najm ayat 39, “Dan tidaklah bagi manusia itu melainkan apa yang diusahakannya”

2. Surah Al-Waqiah ayat 27, “Inilah balasan terhadap apa yang mereka lakukan”

3. Surah An-Nur ayat 26, “Wanita yang buruk untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk”

4. Surah An-Naba’ ayat 26, “(Azab neraka itu) sebagai balasan yang setimpal (dengan kelakuannya)

Dan juga ayat-ayat lain yang membawa kepada maksud yang sama. Apabila kesemua ayat, hadis dan hukum hakam syarak dihimpunkan ia akan membawa kepada ‘keadilan universal’ yang kukuh, yang diraikan dalam setiap juzuk kehidupan.

Perlu diingat di sini ia tidak bermakna kesetaraan dan keseimbangan ini bersifat ‘material’ semata-mata yang boleh diukur dengan ukuran zahir, tetapi ia melibatkan perkiraan-perkiraan lain, termasuk padanya pertimbangan syarak yang menimbang maslahat dunia dan akhirat, serta pertimbangan dosa pahala dan keredhaan Allah SWT.

Kembali kepada topik jalan pintas ini, apabila manusia tertipu dengan jalan-jalan pintas yang dihadapkan kepada mereka, dengan niat ‘leverage’ dan menggunakan modal yang sikit untuk keuntungan yang banyak dan seumpamanya, mereka cenderung untuk mengabaikan aspek-aspek selain material dalam menilai sesuatu perkara.

Saya ambil contoh isu teknologi pada hari ini, walaupun ia memudahkan kita dengan bermacam-macam kemudahan, hakikatnya kita tak perasan apa yang diambil daripada kita, atau apakah bayarannya yang kita tidak sedari.

Saya pernah membuat perbandingan antara tulisan saya secara peribadi di aplikasi ‘whatsapp’ dan e-mel, dalam hal-hal yang khusus, saya dapati di e-mel lebih mendalam dan lebih tersusun, berbanding di whatsapp, ia hanya sekadar ayat terpotong-potong dan tidak pula disulami rasa ‘prihatin yang tinggi’ seperti yang terkandung dalam e-mel.

Ini kerana untuk menghantar e-mel, seseorang perlu membuka website e-mel tersebut, lalu menekan butang ‘compose’, kemudian memasukkan e-mel penerima, menulis tajuk, dan menulis surat, setelah itu menekan butang ‘send’.

Berbanding ‘whatsapp’, segala langkah tadi akan dipintas dengan butang ‘search’ dan terus terpapar skrin ‘chat’ dengan orang yang dikehendaki.

Langkah satu persatu dalam e-mel yang dipintas oleh aplikasi whatsapp itu memberi kesan kepada pelbagai sudut. Yang paling besar adalah sudut sentimental dan penghargaan. Orang yang menghantar whatsapp berbeza rasanya dengan orang yang mengirim e-mel, apatah lagi orang yang menghantar ‘surat’.

Saya buat pula perbandingan surat yang dihantar secara pos, dan surat yang dihantar dengan e-mel, ternyata surat yang dihantar secara pos dan tulisan tangan, lebih mendalam dan lebih bernilai tinggi, berbanding e-mel yang ditaip menggunakan papan kekunci dan internet.

Ini kerana menulis surat memerlukan seseorang itu membeli kertas, membeli pen, kudrat menulis dengan betul, memikirkan ayat terbaik kerana keterhadan ruang dan kertas, membeli setem, sampul surat, melekatkan setem pada sampul surat dan menghantarnya ke pejabat pos. Yang menerimanya pula memerlukan masa untuk sampai, kalau pos biasa memakan masa 3 hari ke seminggu. Dalam tempoh penungguan itu mereka menantikan surat yang dibalas dengan perasaan sentimental yang tersendiri.

Semua itu hilang atau dipintas dalam aplikasi teknologi pada hari ini. Kelajuan teknologi maklumat yang kita perolehi pada hari ini telah mengambil perkara-perkara ‘kemanusiaan’ itu tanpa kita sedari, atas nama kemajuan dan ‘penjimatan masa’.

Ia boleh menghuraikan pelbagai masalah yang berlaku pada harini bermula daripada masalah keluarga dan perceraian yang tinggi, hinggalah kepada masalah ‘sugarbook’ yang menawarkan ‘fast cash’ (duit segera) kepada sugar babies dan ‘fast sexual satisfaction’ (kepuasan seksual segera) kepada sugar daddies.

Pandangan kita apabila telah dididik dengan teknologi yang serba laju dan serba maju ini sedikit sebanyak menjadikan kita lupa terhadap sudut-sudut yang ‘batin’ atau ‘ghaib’ yang juga wujud di sekeliling kita. Kita mula melihat sesuatu perkara secara material semata-mata, dan tidak pula melihat nilainya secara keseluruhan. Untung rugi kesemuanya dinilai dengan nilaian wang ringgit, atau kepuasan diri.

Atas sebab itu syarak hadir untuk memastikan kesemua aturan hidup seimbang dan diletakkan pada tempatnya. Syarak tidak sama sekali menghalang kemajuan manusia, dan penggunaannya terhadap alam sejagat, dengan syarat ia digunakan dalam naratif menjalankan kewajipan ‘memakmurkan’ bumi Allah SWT dan menjadi ‘khalifah Allah’ di atas muka bumi ini.

Ini kerana hanya dengan demikian baharulah segala kemajuan akan dikira maju, dan segala teknologi akan dikira mengembangkan potensi manusia dengan fungsinya yang sebenar.

Apabila segala kemajuan diambil dan ditanggapi semata-mata sebagai ‘pemudah-cara’ dan ‘jalan pintas’ untuk mencapai sesuatu matlamat, tanpa meletakkan matlamat asal kejadian sebagai halatuju, maka ia hanyalah akan membawa kepada malapetaka yang tidak berkesudahan.

Apa yang saya ketengahkan ini bukanlah untuk menafikan mana-mana kemajuan yang kita perolehi hari ini, tetapi hanya untuk kita bermuhasabah dan menilai, sejauhmana sudah kita pintas fitrah kemanusiaan kita tanpa kita sedari, semata-mata hanya inginkan jalan segera mencapai kemahuan material yang sementara ini ?

Barangkali ini juga menjawab, mengapa ulamak dahulu sanggup bermusafir berbulan-bulan, hanya kerana semata-mata mendapatkan satu hadis, sedangkan kita pada hari ini hadis-hadis ribuan terkumpul di dalam buku-buku dan laman sesawang, disiapkan pula dengan takhrij dan syarahannya yang pelbagai, namun kita tidak pula menyentuhnya walau ia di hadapan mata.

Baru kita sedar, betapa jauhnya kita daripada keberkatan, atau betapa jauhnya kita daripada makna kemanusiaan.

“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran” – Surah Al-Asr, ayat 1-3

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts