Jangan ragu waktu subuh ditetapkan lewat 8 minit

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini khususnya di Lembah Klang tidak perlu berasa was-was dengan waktu azan Subuh yang dilambatkan selama lapan minit sejak akhir 2019 lalu.

Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya berkata, kelewatan tersebut turut dipersetujui oleh panel Muzakarah Kebangasaan bagi Hal Ehwal Islam.

“Justeru, masyarakat Islam tidak perlu ragu untuk beramal dengan jadual waktu solat yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti di negeri-negeri khususnya waktu Subuh,” jelas agensi itu lagi.

Ia merujuk maklumat tular melalui wadah media sosial berkaitan waktu azan Subuh yang didakwa kononnya tidak tepat apabila dianjak lapan minit lewat berbanding jadual sebelum ini.

Keadaan itu mengakibatkan ada yang menunaikan solat fardu Subuh lebih awal sebelum azan berkumandang kerana masih menganggap masa ditetapkan Jabatan Mufti negeri adalah salah.

Untuk rekod, waktu solat pernah dilambatkan 30 minit pada 1 Januari 1982 apabila kerajaan menyelaraskan masa Semenanjung yang diseragamkan dengan Sabah dan Sarawak.

Situasi ini menyebabkan kekeliruan apabila waktu azan Subuh misalnya di Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan yang sepatutnya ialah pukul 5.25 pagi telah berubah kepada 5.55 pagi.

Penyeragaman yang dikenali sebagai Waktu Standard Malaysia itu turut menyaksikan masa berbuka puasa di Semenanjung Malaysia bukan lagi sekitar 6 petang tetapi anjak 7 petang.

Mengulas lanjut, Jabatan Mufti Negeri Selangor berkata, kajian semakan semula penentuan waktu Subuh dijalankan sejak 2008 dengan mengguna pakai pelbagai peralatan dan kaedah.

“Kajian rasmi secara sistematik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama para penyelidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi dibuat dari 2018 sehingga 2019,” katanya.

Langkah itu bagi mendapatkan data-data kecerahan langit secara saintifik sebelum dibentang dalam beberapa siri muzakarah falak dihadiri ramai pakar daripada pelbagai latar belakang.

Malaysia, ujar jabatan itu, sebelum akhir 2019, mengguna pakai sudut kedudukan matahari 20 darjah di bawah ufuk berbanding negara-negara lain yang sudah pun menetapkan 18 darjah.

Akhirnya, hasil kajian itu dimuktamadkan muzakarah fatwa dengan Jakim bertindak sebagai urus setia dan bersetuju parameter condong diubah kepada 18 darjah atau lambat lapan minit.

Selangor muncul sebagai negeri pertama di Malaysia melaksanakan perubahan waktu azan Subuh pada 29 November 2019 lalu setelah mendapatkan perkenan daripada Sultan Selangor.

Pertukaran tersebut yang diumumkan sehari sebelum itu, pada mulanya mencetuskan tanda tanya apabila stesen penyiaran tempatan menyiarkan azan Subuh yang lebih awal lapan minit.

Bagaimanapun, semua operator radio dan televisyen yang berpusat di Kuala Lumpur kemudian mengubah waktu azan itu setelah mendapat makluman rasmi Jakim pada bulan berikutnya.

Pertukaran itu turut melibatkan waktu imsak dilewatkan lapan minit berbanding jadual lama, namun tidak pula membabitkan waktu syuruk atau terbit matahari yang kekal masih lagi sama.

“Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan agar lebih baik mengelakkan diri daripada cuba menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih sehingga meresahkan masyarakat,” katanya. –UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts