Jangan menormalisasikan minuman arak kepada umat Islam: Mufti Wilayah

 

BANGI – Umat Islam wajib menggunakan kuasa sebagai pengguna muslim untuk menjauhkan diri daripada apa juga bentuk produk yang meragukan, apatah lagi yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak.

Serentak itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengingatkan pengusaha syarikat arak supaya tidak sesekali melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan minuman arak, khususnya kepada umat Islam.

Beliau berkata, perbuatan sedemikian hanya akan menimbulkan kekeliruan, di samping menyentuh sensitiviti umat Islam.

Beliau memetik sabda Rasulullah riyawat al-Tirmizi yang bermaksud:

“Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

Katanya, sebarang produk yang dikeluarkan oleh syarikat arak, hendaklah dipamerkan status non-halal, diletakkan di tempat khas dan terasing daripada produk-produk halal.

“Kami turut menyeru kepada semua pengusaha produk seperti minuman atau makanan yang boleh menimbulkan sebarang keraguan, hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada badan berautoriti seperti Bahagian Hab Halal, Jakim,” katanya mengulas produk baharu arak tanpa alkohol oleh sebuah syarikat arak ternama yang dipertikaikan banyak pihak.

 

 

Katanya, apa yang menggemparkan ialah apabila minuman berkenaan dipromosikan dengan giat oleh pihak berkaitan dengan menggunakan tagline mengelirukan iaitu ‘Now you can’.

“Dengan tagline tersebut dan diletakkan pula berhampiran dengan produk-produk halal yang lain, ia menimbulkan kekeliruan kerana seolah-olah menggambarkan produk tersebut berstatus halal.

“Namun demikian, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan dan mempertikaikan cara produk tersebut dipromosikan, pada 13 Julai 2019, syarikat berkenaan telah mengeluarkan kenyataan media menjelaskan bahawa produk tersebut adalah non-halal dan hanya dikhususkan buat bukan Islam,” katanya.

Justeru, Dr Zulkifli berkata, beliau melihat isu itu perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib.

“Dalam hal ini, umat Islam telah diperintah supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya.

“Akhir sekali, kami menyeru kepada pihak kerajaan agar menyediakan satu polisi yang jelas dan tegas dalam menangani isu sebegini.

“Dalam Siyasah Syar’iyyah, adalah menjadi tugas dan kewajipan pihak berkuasa membuang dan mencegah segala kemungkaran dan menghalang terjadinya sebab-sebab kemungkaran itu,” katanya. – Ismaweb

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

▪️ telegram.me/indahnyaislam
▪️ instagram.com/indahnya.islam
▪️ twitter.com/IndahnyaIslam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts