Jangan pamer teks al-Quran untuk beri imej restoran halal

PONTIAN – Premis restoran yang tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia yang sah diingatkan tidak sewenang-wenangnya memaparkan teks al-Quran bagi memberi imej halal terhadap premis.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Aris Mamat berkata, tindakan mereka itu menyebabkan pelanggan beragama Islam keliru seolah-olah makanan dan minuman di premis berkenaan halal.

“Sebanyak 95 premis restoran telah diperiksa di Johor berkaitan halal sejak dua minggu lepas. Sebanyak 10 aduan diterima di Johor Bahru berkenaan halal di premis restoran. Pemeriksaan dan siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

“Isu ini dipandang serius dengan tindakan pemantauan dilaksanakan KPDNHEP bersama Unit Pemantauan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ),” katanya.

Asri (dua, kiri) melakukan pemeriksaan di sebuah restoran.

Sementara itu, dua premis restoran dikesan gagal memaparkan tanda harga bagi makanan dan minuman yang dijual dalam operasi pemeriksaan halal itu.

“Air mineral, keropok dan air minuman tin dikesan tidak diletakkan harga. Tindakan rampasan dilakukan dan tindakan kes dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Seramai 30 anggota penguat kuasa dari KPDNHEP Cawangan Pontian bersama Unit Pemantauan Halal dan Bahagian Penyelidikan JAINJ, Majlis Daerah Pontian dan Pejabat Kesihatan daerah Pontian terlibat dalam operasi yang menyaksikan tiga buah premis restoran diperiksa.

Gesaan turut dibuat kepada orang ramai supaya membuat aduan kepada pihak KPNHEP melalui sistem [email protected] sekiranya mendapati ada restoran yang tidak mematuhi undang-undang. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts