Jangan salah guna visa umrah,pelancongan untuk tunai haji

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peringatan tersebut diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji. 

Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan, MOTAC turut ingin mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula selain akur dengan peraturan semasa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Musim haji dijangka bermula minggu ketiga Jun tahun ini.

“MOTAC memandang serius berhubung perkara tersebut (salah guna) kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan perkara itu satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah, selain kerajaan negara itu hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut MOTAC, tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian itu dan turut menyeru rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara. —AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts