Jangan tangguh bayar zakat

zakat-1024x485

 

KUALA LUMPUR, Selasa – Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAIWP), Mohd Rais Alias menasihati umat Islam yang masih belum menunaikan zakat fitrah untuk segera melunaskannya.

Beliau meminta umat Islam menyegerakan pelaksanaan Rukun Islam ketiga itu memandangkan Ramadan cuma berbaki 14 hari lagi.

Katanya, mereka yang tidak membayar zakat fitrah boleh tergolong sebagai orang yang mempunyai hutang dengan Allah swt.

“Kita perlu semak sama ada kita berhutang dengan ALLAH SWT atau tidak. Ini termasuklah dari segi solat, puasa dan tidak ketinggalan tuntutan berzakat.

“Umat Islam diingatkan agar tidak memandang remeh soal ini. Sebab itu kita kena semak sama ada kita layak atau tidak menunaikan zakat bagi mengelakkan tergolong dalam kalangan orang yang berhutang dengan ALLAH SWT,” katanya.

Beliau turut melarang umat Islam mengamalkan sikap membayar zakat fitrah di saat akhir kerana tempoh menunaikannya bermula dari awal Ramadan sehingga pagi Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Jangan bertangguh kerana kita boleh dianggap berhutang jika tidak bayar zakat. Jika cukup haul (tempoh masa) dan cukup nisab, datanglah untuk bayar.

“Mereka yang bayar selepas waktu ditetapkan akan dianggap sebagai berdosa. Jadi umat Islam digalakkan bayar zakat fitrah awal bagi mengelakkan mereka terlupa atau terlepas di sebalik keghairahan membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Rais menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak membayar zakat kepada amil yang tidak bertauliah.

“Menjadi satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) untuk memungut zakat tanpa pentauliahan MAIWP.

“Jika disabitkan, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Akta sama memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang membayar zakat kepada orang yang tidak bertauliah. Mereka yang melakukannya boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PPZMAIWP menyediakan 11 kaunter yang dibuka tujuh hari seminggu bagi memudahkan umat Islam di Wilayah Persekutuan menunaikan zakat.

“PPZ-MAIWP merupakan badan dilantik untuk kutip zakat dengan tauliah MAIWP.

“Selain kaunter disediakan, mereka juga boleh membayarnya secara online di www.zakat.com.my,” katanya.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/06/jangan-tangguh-bayar-zakat/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts