Jangan terbabit perjuangan Hamas, fokus bantuan kemanusiaan – KPN

KUALA LUMPUR: Bukit Aman meminta rakyat Malaysia yang menyokong rakyat Palestin menterjemahkan solidariti mereka dengan cara yang betul dan bukan terbabit dengan sebarang kegiatan keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Malaysia tidak pernah mengklasifikasikan Hamas sebagai pengganas atau militan namun pihaknya akan memastikan tiada rakyat Malaysia terbabit perjuangan Hamas hingga mengancam keselamatan diri.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana individu atau rakyat negara ini agar tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik antaranya Gaza atas alasan ‘berjihad’.

“Kumpulan itu tidak pernah menjemput mana-mana individu atau kumpulan dari negara luar untuk bersama-sama mereka mempertahan kawasan konflik berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya ada menegaskan sebelum ini bahawa rakyat negara ini perlu menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin namun keselamatan rakyat Malaysia yang berusaha memberikan sokongan turut menjadi keutamaan.

“Kita akan pastikan mereka yang pergi ke Rafah hanya untuk tujuan menghantar bantuan kemanusiaan dan keperluan rakyat Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau pergerakan dan sebarang aktiviti mempunyai kaitan dengan keganasan sama ada di dalam atau luar negara.

Razarudin berkata PDRM melalui Cawangan Khas sentiasa melakukan pemantauan dan risikan dalam memastikan keselamatan negara terjamin daripada sebarang unsur keganasan.

“PDRM sentiasa mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengelakkan aktiviti kumpulan pengganas menular sehingga boleh mengancam keamanan negara.

“Kita sentiasa memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan atau aktiviti yang dikaitkan pengganas dalam memastikan keamanan dan keselamatan dilindungi daripada anasir jahat,” katanya.

Mengenai senarai tiga pemimpin NGO Islam di Malaysia yang disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC), Biro Persekutan (FBI) Amerika Syarikat, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Terdahulu BH melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts