1.BERITA tentang penangkapan seorang ADUN dan beberapa pegawai kerajaan dalam sebuah parti yang dilabel sebagai ‘parti dadah’ adalah amat menyedihkan. Atas dasar itu Rasulullah mengingatkan kita agar berhati-hati dalam melantik kepimpinan.
2. Dalam sebuah hadith, Rasulullah berpesan kepada kita bahawa akan datang satu zaman, terdapat pemimpin yang mendekati orang-orang yang jahat. Sabda Rasulullah:
لَيَأْتِيَنَّ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يُقَرِّبُونَ شِرَارَ النَّاسِ ، وَيُؤَخِّرُونَ الصَّلاةَ عَنْ مَوَاقِيتِهَا ، فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَلا يَكُونَنَّ عَرِيفًا ، وَلا شُرْطِيًا ، وَلا جَابِيًا ، وَلا خَازِنًا
“Akan datang ke atas kamu (satu zaman dimana) pemimpin-pemimpin mendekati manusia yang jahat, mereka melengah-lengahkan solat (sehingga) di akhir waktunya. Maka apabila kamu mendapatinya yang demikian itu dikalangan kamu, maka janganlah kamu menjadi: pembantunya, pegawai keselamatannya, pemungut cukai (buatnya) dan yang menjaga khazanah (mereka). (HR Ibn Hibban. Dinilai Sahih oleh al-Albani)
3. al-Imam Ibn Hibban menukilkan hadith ini di dalam sebuah bab yang menjelaskan tentang keperluan seorang Muslim untuk menjauhi pemimpin yang mendekati manusia yang jahat. Kezaliman mereka dibimbangi akan memberikan kesan kepada rakyat dan manusia lain.
4. Begitu penting perihal kepimpinan sehingga Rasulullah telah berpesan agar kita menjauhi dari melantik pemimpin yang dibimbangi membawa kerosakan. Bahkan Rasulullah mengingatkan kita bahawa akan ada pemimpin yang melakukan perkara yang dimurkai Allah. Sabda Rasulullah:
يوشك إن طالت بك مدة أن ترى قوماً في أيديهم مثل أذناب البقر يغدون في غضب الله, ويروحون في سخط الله
“Andai sekiranya umurmu panjang nescaya kamu menyaksikan golongan manusia (pemerintah berkuasa) yang ditangannya ada cemeti laksana ekor lembu (melulu tanpa akal) melakukan kejahatan pada waktu paginya dimurkai Allah dan pada waktu petangnya dilaknat Allah”. (HR Muslim)
5. Begitulah pesan Rasulullah, mengingatkan kita dalam urusan kepimpinan. Pemilihan pemimpin yang salah bukan sahaja memberikan kesan pada diri kita sendiri, masyarakat bahkan sebuah negara.
Semoga Allah membimbing kita.- FB Dr. Ahmad Sanusi Azmi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)