PILIH Daesh sebagai jalan singkat untuk ke syurga, ramai umat Islam di negara ini tanpa mengira usia dilihat mudah terpedaya dengan propaganda kumpulan militan antarabangsa tersebut.

Teruja mahu menghapuskan dosa lalu dengan mati syahid, umat Islam yang lemah pegangan agama dengan mudah diperdaya oleh militan Daesh bagi dijadikan mangsa menyemarakkan ideologi keganasan.

Kononnya mahu mati syahid dan memperoleh balasan syurga kerana berjihad, mentaliti dangkal menggunakan jalan pintas tersebut disambut baik pihak pengganas Daesh dalam melatih kumpulan tentera yang sanggup mati bagi melancarkan serangan keganasan.

Bukan sahaja platform berjihad tersebut telah disalah erti, malah ideologi keganasan berjaya diterapkan dalam kalangan ahli Daesh yang kononnya mahu berjuang dan berkorban atas nama agama.

TERSILAP LANGKAH

Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, faktor kejahilan agama dan keterujaan melampau bagi menghapus dosa lalu menerusi mati syahid menjadikan umat Islam yang lemah pegangan agama mudah diperdaya untuk menyertai Daesh.

Katanya, segelintir yang menyertai Daesh adalah mereka yang sebelum ini hidup dalam keadaan berfoya-foya tetapi apabila mendapat kesedaran agama, mereka tersilap langkah apabila memilih Daesh demi mencapai ganjaran besar iaitu mati syahid, sekali gus menghapuskan dosa-dosa lalu dengan mudah.

Menurutnya, pemikiran mereka telah ‘dibasuh’ dan hanya memahami bahawa untuk masuk ke syurga dengan mudah adalah menerusi jihad meskipun terpaksa bertindak secara keganasan.

“Untuk berjihad, kita sebagai umat Islam harus mengetahui bahawa terdapatnya rukun dan syarat tertentu yang harus dipatuhi, bukan sewenang-wenangnya melakukan serangan keganasan yang boleh dianggap sebagai jihad dan berjaya menghapuskan dosa-dosa lalu.

“Mereka melihat Daesh sebagai jalan pintas untuk merealisasikan hasrat mati syahid seterusnya berharap diberi ganjaran syurga. Perkara ini adalah pilihan buat mereka yang suka jalan pintas, sama seperti memilih menyertai skim cepat kaya. Secara logik, mana ada jalan senang untuk cepat kaya dengan mudah,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada penganjuran Program Kefahaman Remaja Islam menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dan Masjid Mu’adz Bin Jabal, Taman Setiawangsa di Kuala Lumpur.

Dalam majlis tersebut, bekas mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang itu menyampaikan ceramah bertajuk Perspektif Islam Terhadap Ekstremisme dan Hubungannya Dengan Daesh.

Majlis perkongsian ilmu yang disertai pelajar dari beberapa buah sekolah sekitar Setiawangsa itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Mengulas lanjut, Engku Ahmad Fadzil berkata, kelicikan pendekatan pihak Daesh untuk memilih anggota baharu pada masa ini berbeza dengan tempoh 10 hingga 15 tahun lalu apabila pihak pengganas itu menggunakan laman media sosial sebagai medium menjerat mangsa.

Jelasnya, jika dahulu kumpulan pengganas itu menggunakan medium usrah atau perjumpaan tertentu, namun kini platform media sosial digunakan sebaik mungkin untuk mengumpan mangsa malah baiah atau ikatan taat setia telah berjaya dilaksanakan menerusi media sosial.

Selain itu menurutnya, tanpa mengira usia, mangsa yang berminat pasti akan diumpan menyertai kumpulan militan tersebut termasuk menyasarkan remaja sebagai pilihan utama kerana kumpulan remaja tersebut begitu bersemangat, idealistik, selain ‘benteng dalaman’ yang rapuh serta tidak berfikir panjang.

Tambahnya, tenaga baharu yang diperoleh akan dihasut untuk membenci kerajaan dengan menyatakan kerajaan sedia ada mempunyai persamaan dengan thaghut.

Katanya, thaghut adalah kafir, maka kerajaan yang ada perlu digulingkan seperti yang berjaya dilakukan di beberapa buah negara.

Untuk itu jelasnya, sistem pendidikan negara perlu diperkemas dengan memasukkan elemen pembelajaran berhubung kepentingan mentaati pemerintah, menerangkan tentang bidaah, amalan syirik serta penjelasan berhubung jihad sebenar.

“Pelajar pada peringkat sekolah adalah kumpulan kritikal dan berisiko tinggi untuk diperdaya oleh militan Daesh. Mereka perlu diberi bimbingan sebaik mungkin agar tidak mudah terpedaya dengan hasutan licik bakal menerima ganjaran besar termasuk mati syahid.

“Sekiranya generasi muda begitu mudah dipengaruhi dan dikuasai Daesh kerana tipu daya, maka akan musnah negara yang kita cintai ini malah Malaysia juga tidak mustahil boleh menjadi seperti Iraq yang hancur kerana permainan militan Daesh bertindak mengacaubilaukan negara,” katanya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)