Jenazah Muhammad Ali Hashim selamat dikebumikan, jasa tetap dikenang

 

KUALA LUMPUR – Jenazah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang meninggal dunia petang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, malam tadi.

Jenazah dikebumikan kira-kira jam 9.30 malam ini dengan kehadiran anggota keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan terdekat. Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail selepas solat Isyak.

Muhammad Ali, 70, meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara kira-kira jam 3.30 petang semalam selepas lebih dua bulan dimasukkan ke hospital berkenaan kerana barah.

Arwah meninggalkan seorang balu, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Muhammad Ali berkhidmat dengan perbadanan pelaburan negeri Johor selama 28 tahun sejak Januari 1982 hingga Julai 2010, dan di bawah kepimpinannya, JCorp menjadi antara syarikat terkemuka di Malaysia, dengan kira-kira 280 syarikat di bawah sayapnya.

Melalui kumpulan syarikat itu, JCorp muncul antara peneraju pasaran domestik dalam beberapa perniagaan teras, terutama dalam Perniagaan KULIM, Perniagaan Kesihatan Pakar, dan Perkhidmatan Makanan & Restoran.

Kumpulan ini juga telah menubuhkan bahagian pembangunan hartanah, perindustrian dan tanggungjawab korporat.

Kumpulan ini memiliki kepentingan operasi dan perniagaan bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Brunei, Kemboja, Indonesia, Thailand, Bangladesh, dan Australia.

Muhammad Ali juga ialah bekas Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (MICC), Pengerusi Biro Korporat MICC, dan Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation Bhd.

Beliau antara lain berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Ekonomi Johor, Bank Negara Malaysia sejak 1971, Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Ketua Menteri Sarawak sejak 1972, Timbalan Pengarah, Unit Perancang, Kerajaan Negeri Sarawak dari 1974 hingga 1977, dan Pengurus Projek, Kulim (Malaysia ) Bhd sejak 1978.

Beliau ialah Pengerusi Majlis Penasihat KFC Holdings Malaysia Bhd sejak 6 Julai 2006 dan Pengerusi Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn. Bhd.

Mengulas pemergian Muhammad Ali, Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim berkata, ia merupakan suatu kerugian kepada masyarakat Melayu dan negara, dan komuniti perniagaan akan merinduinya.

“Beliau banyak menyumbang kepada Johor dan negara. JCorp terlibat dalam pelbagai pelaburan dalam beberapa sektor seperti perkhidmatan perubatan dan perladangan, dan beliau telah banyak menghasilkan pembangunan semasa menjadi CEOnya,” katanya.

Muhammad Ali berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1969, dan menyertai Program Eksekutif Kanan di Stanford University, Amerika Syarikat pada 1985.

Beliau dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pengurusan oleh lapan universiti di Malaysia.

Muhammad Ali menulis tiga buku iaitu ‘Membujur Lalu – Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan’ (1995), ‘Bisnes Satu Cabang Jihad – Pembudayaan Bisnes Untuk Survival’ (2003) dan ‘Khalifah Ganti Superman’ (2011).

Atas sumbangannya terhadap perkembangan keusahawanan dan kedudukan ekonomi masyarakat Islam, beliau menerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2007.

Beliau dipilih sebagai Usahawan Terbaik oleh Rotary Club Johor Bahru pada 1994 dan Pengarah Terbaik 1995 oleh Institut Pengarah Malaysia atas komitmennya terhadap kualiti, keusahawanan dan profesionalisme.

Beliau akan dikenang atas visi keusahawanan dan bimbangannya dalam membangunkan perbadanan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha menyifatkan Allahyarham merupakan seorang tokoh yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan wakaf korporat di Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana Allahyarham ternyata telah merancakkan perkembangan ekonomi Islam di Malaysia melalui pelbagai jawatan yang pernah disandang sewaktu hayatnya.

“Allahyarham pernah dilantik sebagai Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia serta Ketua Kluster Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI), dan telah mencurahkan idea-idea yang bernas terhadap kemajuan ekonomi umat Islam.

“Malah, Allahyarham pernah menerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah Tahun 1428H/2007M Peringkat Kebangsaan. Saya mewakili warga Jakim melahirkan rasa sedih dan dukacita di atas pemergian Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts