home Semasa Kalimah Allah 2.0: PEMBELA sedia bantu MAIS

Kalimah Allah 2.0: PEMBELA sedia bantu MAIS

 

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sedia bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung isu kalimah Allah 2.0.

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu juga sekali lagi menyatakan kesediaan untuk membantu pihak MAIS dalam segala aspek terutamanya pasukan peguam dan kajian dalam isu berkenaan.

Ini kerana MAIS paling banyak dicabar di mahkamah oleh pihak-pihak tertentu, kata PEMBELA.

“Terima kasih MAIS atas kerjasama yang jitu diberikan dalam isu kalimah Allah 2.0 ini.

“Banyak ruang kerjasama yang dibincangkan terutamanya ruang untuk pihak kami membantu MAIS dalam isu-isu akidah dan perundangan sebegini.

“Insya-Allah, kita akan ‘engage’ dari semasa ke semasa dalam isu ini dalam menghadapi strategi dan tindakan terutamanya dalam kes ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

PEMBELA berkata demikian sebagai respon kepada surat yang dikirim MAIS bertarikh 16 April.

Menerusi surat yang ditujukan kepada Pengerusi PEMBELA, Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar memaklumkan, pihaknya telah menerima memorandum sokongan berkaitan isu kalimah Allah daripada PEMBELA pada 30 Mac lalu.

Dalam surat itu juga, beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas memorandum yang diberikan.

“Kerjasama dan keprihatinan tuan terhadap kebajikan dan kemajuan sosio ekonomi ummah di Selangor amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.

Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Sementara MAIS dilaporkan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pihak pencelah dalam kes rayuan berkenaan.- Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *