Kawal penjualan arak kepada bukan Islam di kedai serbaneka: Mufti

BANGI – Kerajaan disarankan memperhalusi semula penjualan arak khususnya di kedai serbaneka supaya keadaan negara menjadi tenteram dan aman.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihak kerajaan juga perlu mengawal minuman beralkohol itu supaya tidak dijual sebebas-bebasnya kepada bukan Islam.

Dalam isu membabitkan pemandu mabuk yang membahayakan nyawa orang awam, beliau berkata, terdapat dua situasi iaitu hak individu serta masyarakat.

Jelasnya, jika sesuatu perkara itu membabitkan masyarakat, maka ia tidak boleh dinyatakan sebagai kebebasan individu.

“Kebebasan individu adalah terbatas selagi tidak menganggu gugat masyarakat. Jika mereka mahu minum arak dalam rumah, itu terpulang kepada mereka. Tetapi jika mereka minum hingga mabuk kemudian memandu dan mengancam keselamatan orang lain, itu tidak boleh kata hak individu.

“Hak individu ini selagi mana tidak mengancam hak orang lain…kerana itu saya menyokong undang-undang memandu dalam keadaan mabuk ini disemak semula dan perlu diperketatkan untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa semalam mencadangkan supaya kerajaan membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Beliau berkata, lesen premis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap kedai-kedai menjual alkohol juga perlu diperketatkan susulan berlakunya kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk.

Akhir-akhir ini, berlaku beberapa kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

Terbaharu, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di ibu negara, baru-baru ini.

Mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.

Terdahulu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sehari sebelum itu, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk. – ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Setkan ‘See First’ fb page Indahnya Islam atau ikuti telegram Indahnya Islam agar anda sentiasa dapat mengikuti pelbagai bahan-bahan menarik berkaitan kesyumulan Islam.

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts