Ke mana hala tuju para pendakwah masa kini?

 

KE MANA agaknya hala tuju para pendakwah masa kini?” getus hati kecil saya. Helaian demi helaian kitab Humum al-Da’iyah (Rasa Gelisah bagi Pendakwah) dibelek dengan penuh tekun. Saya fikir, inilah buku tulisan Syeikh Muhammad al-Ghazali yang perlu dimiliki mereka yang bergelar pendakwah. Sebuah buku kecil yang sangat besar manfaatnya kepada ummah.

Sesekali melihat ke luar tingkap, merenung langit yang mula menampakkan sinar matahari. Pesawat MAS yang saya naiki sudah lebih sejam terbang di awan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Lapangan Terbang Labuan. Kebiasaannya, inilah yang dilakukan ketika dalam penerbangan, membaca buku. Ini juga waktu yang paling selesa, santai dan senang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pembacaan.

“AKU MAHU UMAT ISLAM MUHASABAH DIRI MEREKA!”

Syeikh Muhammad al-Ghazali dengan jelas menzahirkan rasa dukacita atas apa yang berlaku ke atas umat Islam pada masa kini. Beliau meninggalkan satu kenyataan yang amat membekas: “Aku mahu umat Islam muhasabah diri mereka!” Ini kerana mereka adalah umat kepada dakwah yang bersifat global, namun apa yang mereka telah sumbangkan dalam perjalanan dakwah ini kepada umat sejagat baik di pelosok kampung atau di bandar atau di peringkat dunia?

Renungkan bagaimana Rasulullah SAW menyediakan sahabat yang faqih, menjadi guru dalam bidang hukum pemerintahan, memelihara hak, menyucikan jiwa, membina akhlak yang unggul, dan mempertahan tradisi yang baik. Tiada seorang pun yang mampu melakukan seperti Baginda yang telah membina generasi utuh dan memiliki akhlak yang suci bersih.

Hati para sahabat Nabi disirami dengan takwa, pengorbanan dan penyaksian kebesaran Ilahi. Mereka menghadap akhirat tanpa digugat dengan fitnah dunia dalam kehidupan. Mereka adalah Salafussoleh yang layak memimpin ummah dan mewarisi akhirat.

PERBAHASAN YANG TIDAK BERKESUDAHAN

Apa yang dibahaskan oleh segelintir pendakwah, hanyalah isu-isu yang sudah diselesaikan berkurun-kurun lamanya. Diulang-ulang ke dalam masyarakat yang mana natijahnya membawa kepada kekeliruan dan perbalahan. Maka, jadilah polemik yang tidak berkesudahan dan berpanjangan. Tambahan dengan hati yang dihinggapi penyakit batin seperti hasad dengki, dendam kesumat, takbur dan taksub sudah tentu menatijahkan hal yang tidak baik.

Muhammad al-Ghazali melihat perbahasan sebegini hanya membuahkan perdebatan yang mandul. Kita amat memerlukan pendakwah bersifat menyatukan bukan memecahkan, merahmatkan yang tersalah dan bukan menghukum. Sekalipun sekiranya kita mengandaikan bahawa yang tepat dalam hal doa qunut ketika solat subuh adalah tiada doa qunut sebagaimana pendapat mazhab Hanbali dan Hanafi, maka siapa pula yang mengharamkan Imam Malik dan Imam Syafie untuk mendapatkan satu pahala atas ijtihad yang salah?

Realitinya, penyakit jiwa dan hati bagi golongan yang taksub dalam perkara cabang telah menguasai perjalanan mereka dan mereka dengan nama agama telah bernafas dengan kehinaan yang tersembunyi. Ketika mana mereka sibuk berkecimpung dengan fatwa yang bersifat sebagai fatwa jazzar (penyembelih), maka kita akan lihat ada sahaja yang ‘dikorbankan’ olehnya.

KEMBALI KEPADA SUMBER YANG SEBENAR

Pada saat yang sama, kita perlu kembali kepada al-Quran yang menjadi sumber utama dengan tafsirannya yang muktabar. Ini kerana kelalaian dengan al-Quran dan kurang kefahaman tentang tafsirannya adalah penyakit jiwa yang parah dalam diri umat Islam.

Lihatlah kepada Abdullah bin Abbas r.a. bagaimana beliau memahami Surah al-Nasr yang lain daripada fahaman para sahabat dalam majlis Sayidina Umar dengan menyatakan bahawa: “Aku berpendapat surah tersebut menandakan hampirnya ajal Nabi SAW.”

Inilah kebijaksanaan yang mengandungi hikmah dikurniakan Allah kepada siapa yang dikehendaki. Firman Allah SWT:

“Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak,” (Surah al-Baqarah: 269)

Ibnu Kathir menyebut ucapan Imam Syafie: “Setiap apa yang dihukum oleh Rasulullah SAW, maka ia adalah apa yang dapat difahami daripada al-Quran.” Maka bagaimana mungkin boleh untuk memahami cabang-cabangnya dengan jahilnya usul (al-Quran)?

Muhammad al-Ghazali juga menyatakan yang membimbangkannya masa depan umat ini apabila beliau melihat ramai yang sibuk mengkaji hadis tetapi kekurangan fikah.Bahkan mereka mengambil peranan sebagai seorang alim fikah kemudian alim dalam siyasah syariah dengan bercita-cita mengubah masyarakat dan negara mengikut apa yang mereka rasa serta sangka.

Di sana terdapatnya mereka yang mendakwa sebagai ulama sedangkan pada hakikatnya adalah orang awam yang menjerit dan bertempik melemahkan umat mereka.

KERISAUAN UMMAH

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah permasalahan yang sukar untuk diselesaikan. Tambahan pula dengan perancangan ‘menidurkan ummah’ daripada sedar dan juga untuk bangun serta bangkit daripada kealpaan iaitu amat perlu untuk bangkit dan sedar daripada tidur yang panjang dengan mimpi-mimpi serba indah.

Saat kita leka, musuh-musuh begitu lahap cuba meratah sehingga jadilah kita pada tahap lemah yang amat ketara, dipandang hina dan tidak mempunyai sebarang kekuatan.

Namun, ini bukan masanya lagi untuk kita terus risau tanpa sebarang usaha. Inilah masa untuk bangkit dan mengangkat semula Islam pada mata dunia. Semoga kita dapat menghayati Islam yang syumul, meninggikan syiar Islam dan menjadi ejen perubahan ke arah kebaikan. Amin.

Baca untuk diri, sebar untuk ummah!

SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/risau-hala-tuju-pendakwah-kini-1.548279

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts